Hari ini DailyUmrah ingin berkongsi sedikit trivia tentang kisah seorang ibu susuan yang asal dirinya serba kekurangan pergi mengikuti rombongan ke Mekah.Mari kita ikuti kisah ini.
Sirah pernah menyaksikan kisah seorang ibu susuan yang asal dirinya serba kekurangan pergi mengikuti rombongan ke Mekah. Harapannya hanya satu, membawa pulang seorang bayi Quraisy untuk disusukan lalu mendapat upah hasil daripada itu.
Takdirnya, ibu susuan yang bernama Halimatul Saadiah ini adalah wanita yang paling tidak dikehendaki Arab Quraisy dek tubuhnya yang lemah longlai. Bayangkan susu untuk diberikan kepada anak sendiri pun tidak mencukupi, apatah lagi untuk mengambil upah menyusukan bayi lain.
Namun, Allah sebaik-baik pengatur kehidupan.
Setelah semua wanita susuan yang lain menolak untuk menyusukan Muhammad kerana keyatimannya, bayi kematian bapa ini akhirnya menjadi anak susuan Halimatul Saadiah.
“Demi Tuhan, tiada apa yang kuharap melainkan barakah daripada si anak kecil ini.”
Masya-Allah tabarakallah, Muhammad itu sememangnya dari azali pembawa barakah.
Saban hari, kehidupan keluarga Halimatul Saadiah berubah. Susu badannya yang dulu kekeringan, kini melimpah-ruah. Keldai dan untanya yang dulu tua dan lemah, kini menjadi paling sihat dan laju melangkah.
Siapa sangka, selama memelihara Muhammad, kehidupan Halimatul Saadiah sentiasa dalam keadaan baik. Sejak itu, keluarga dan anak-anak susuannya tidak pernah ditimpa penyakit dan bahaya. Malah, seisi rumah diliputi keceriaan dan cinta.
Itulah barakah, sesuatu yang sukar digambarkan dengan kata-kata. Sungguhpun tidak diketahui sumber dan pucuk pangkalnya, namun kebaikannya bertingkat-tingkat, berlapis-lapis.
Gambar dibawah ini dikatakan bahawa ini kawasan rumah Halimatul Saadiah, tempat Rasulullah dibesarkan. Lokasinya luar sedikit dari bandar Taif.
Credit : MadinahDiHati