Kenangan Di Tanah Suci: “Percutian” Dengan 1001 Makna

Terasa nak berkongsi pengalaman-pengalaman mereka yang pernah mengerjakan umrah bagi mereka yang sudi membaca. Tapi panjang lah sikit ceritanya. InsyaAllah dapat berkongsi sedikit tips dan kenangan yang dapat naikkan semangat mereka yang belum menjejakkan kaki ke Tanah Suci. Jom sama-sama kita ikuti pengalaman-pengalaman mereka ini.

Alhamdulillah, beberapa minggu lepas, dengan izin Allah aku dijemput untuk menziarahi Tanah Suci buat kali pertama dalam hidup aku.

Syukur kerana Allah bukakan hati aku dan pilih aku menjadi tetamu-Nya di sana. Bukan senang untuk dijemput ke sana kan? Kalau kita jutawan sekalipun, belum tentu kita dapat peluang ni kalau Allah belum izinkan.

Dan aku berterima kasih kepada syarikat tempat aku bekerja kerana inisiatif mereka menaja kakitangan yang beragama Islam untuk menunaikan umrah. Sejujurnya, insentif yang diberi oleh syarikat inilah yang menggerakkan hati aku untuk ke sana.

Walaupun asalnya niat ke sana cuma untuk mengambil peluang atas tawaran pakej percutian percuma itu yang cuma diberi sekali sepanjang bekerja, tapi sememangnya “percutian” kali ini cukup bermakna untuk aku.

Aku memilih untuk pergi berseorangan untuk trip ini. Alasannya, lagi senang untuk fokus pada ibadah. Lagipun, isteri aku tak nak ikut sebab tak nak tinggalkan anak lama-lama. Nak bawa anak pulak, aku rasa agak leceh sebab ini kali pertama aku ke sana, ke tempat yang aku belum fasih lagi selok beloknya. Nanti hilang fokus pula untuk beribadah.

Masa berkumpul di KLIA sebelum berangkat, aku nampak ramai betul jemaah rombongan kali ni. 483 orang semuanya, penuh satu flight yang disewa khas oleh pihak agen umrah untuk trip ini. Bila tengok ramai macam ni dan majoritinya pergi dengan keluarga atau kawan, mula la aku rasa sunyi sikit sebab aku sorang-sorang.

Dalam aku tercari-cari orang untuk dibuat kawan semasa di airport, Allah permudahkan urusan aku dan hilangkan rasa resah aku. Sewaktu taklimat di KLIA sebelum berlepas, aku bersembang dengan seorang pakcik yang berdiri sebelah aku masa taklimat tu. Nak dijadikan cerita, rupanya pak cik ni pun solo traveller dan sama group dengan aku (daripada 483 orang, kami dipecahkan kepada group kecil. Lebih kurang 40 orang dalam satu group).

Dapatlah aku seorang teman berborak sepanjang di airport. Borak dengan ‘orang lama’ ni seronok, sebab banyak pengalaman hidup dia. Masa di dalam flight pulak, aku terfikir kan bagus kalau pakcik tadi tu dapat sebilik dengan aku. Alang-alang dah berkawan kan?

Nahhh.. Bila sampai je di hotel Madinah dan dapat tahu senarai nama teman sebilik, rupanya pak cik tadi yang aku baru sahaja kenal sebilik dengan aku jugak. Alhamdulillah. Cantik aturan Allah untuk aku.

Yang lagi best, aku dapat sebilik dengan mutawwif group aku jugak. Dalam flight tadi aku berharap juga agar dapat bilik yang dekat dengan mutawwif. Senang nak jumpa tanya soalan. Maklumlah, aku pegi kursus umrah sekali je. Banyak benda aku masih kurang pasti.

Alhamdulillah sekali lagi. Nikmat Tuhan yang mana lagi hendak aku dustakan, ye tak? Semuanya dah dipermudahkan.

Dapat pula seorang lagi kawan sebilik yang cukup peramah, yang mana aku gelar dia “YB”, sebab semua orang dia tegur, ajak bersembang. Tak sunyi lah aku dekat sana. Masa di Madinah dan Makkah, semua urusan aku terasa mudah je. Semua plan yang aku buat berjalan lancar.

Sehari tidur 2-3 jam saja. Nampak macam tak cukup, tapi bila bangun rasa segar macam dah tidur 8 jam. Makanan yang disediakan oleh pihak agen umrah yang bawa aku pun semuanya sedap-sedap. Aku pada awalnya dah standby bawa duit lebih untuk beli makanan di Makkah dan Madinah sebab dengar kata, makanan yang disediakan tak kena dengan tekak orang kita. Tapi Alhamdulillah, langsung tak ada keperluan untuk cari makanan lain. Siap dihidangkan menu-menu special lagi macam Nasi Daging Unta, kambing dan sebagainya.

Ibadah pun jadi mudah sebab hati rasa tenang je tak ada masalah. Alhamdulillah syukur. Tak pernah aku rasa setenang ini. Kalau masa di Kuala Lumpur, tiap-tiap hari ada je benda yang buat aku rasa berserabut.

Di Makkah dan Madinah juga, aku dapat 2 berita yang cukup menggembirakan. Tapi tak dapat aku kongsikan di sini apa bendanya, cuma cukup aku katakan yang Allah makbulkan 2 hajat besar aku yang aku dah minta sejak setahun lepas.

Sekali lagi, nikmat Tuhan yang mana lagi yang mampu aku dustakan? Benarlah bumi suci ini, bumi di mana mustajab doanya.

Setiap permulaan mesti ada pengakhirannya, kan? Air mata aku mengalir selesainya aku melakukan ziarah wida’ (ziarah selamat tinggal) di Masjid Nabawi dan tawaf wida’ (tawaf selamat tinggal) di Baitullah. Rasa sayu sangat.

Untuk yang belum pernah datang ke sini, mungkin susah untuk korang faham apa yang aku rasa. Tapi bagi yang pernah datang, korang pastinya ada perasaan yang sama kan?

Rindu. Cukup rindu. Rindu dengan ketenangan yang aku dapat di sana. Rindu dengan suasana ibadah di sana. Dah balik ke sini pun, bila teringat semua ini, tiba-tiba datang rasa sebak.

Siapa yang belum pernah datang, pasanglah niat dan carilah peluang untuk berkunjung ke Tanah Suci ini. Percayalah, percutian ini akan jadi percutian yang paling korang rindukan sepanjang hayat.

“Ya Allah, kau murahkanlah rezekiku dan kau izinkanlah aku untuk berkunjung lagi ke sini bersama keluargaku pula selepas ini untuk urusan Haji dan Umrahku.

Dan kalaulah ziarahku sebelum ini adalah ziarah terakhir bagiku, aku pohon agar Kau terima ibadahku dan Kau matikanlah aku dalam keadaan beriman denganMu.” Amin.

Semoga kisah ini dapat sedikit sebanyak memberikan kita semangat untuk berusaha lebih keras untuk mengerjakan ibadah umrah mahupun haji.

Kredit: Syazmil Yaakob

Kongsikan:

Share on facebook
Facebook
Share on telegram
Telegram
Share on twitter
Twitter

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *