8 Panduan Lengkap Bagi Mereka Yang Pertama Kali Ingin Menjejakkan Kaki Ke Tanah Suci

Ibadah umrah dan haji wajib dilaksanakan oleh setiap orang Islam sebagaimana diperintahkan oleh Allah SWT dalam firman-Nya:

وَللهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيْلاً

Maksudnya: “Mengerjakan haji adalah kewajipan manusia terhadap Allah, iaitu bagi orang yang mampu mengadakan perjalanan ke Baitullah”. (Ali Imran, 97)

Kewajipan menunaikan umrah dan haji diwajibkan bagi mereka yang sudah benar-benar bekemampuan dan jangan lah pula bila dah senang dan melebihi kemampuan anda tidak mengerjakannya atas alasan tidak mempunyai masa. Allah nak tarik balik kenikmatan yang Dia bagi sekelip mata sahaja semua yang kita miliki akan hilang.

Namun sebelum kita berangkat mengerjakan umrah dan haji, sebaik-baiknya kita perlulah belajar dulu bagaimana cara Rasulullah SAW mengerjakan umrah dan haji sebagaimana yang disarankan oleh para ulama Salaf as-Soleh. Allah SWT berfirman:

لَقَدْكَانَ لَكُمْ فِى رَسُوْلِ اللهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَنْ كَانَ يَرْجُوْا اللهَ وَالْيَوْمَ اْلأَخِرَ وَذَكَرَ اللهَ كَثِيْرًا

Maksudnya: “Sesungguhnya, telah ada pada diri Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu, iaitu bagi orang yang mengharap rahmat dan kedatangan hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah”. (Al-Ahzab, 21)

Jadi, apakah lagi yang kita ragukan untuk belajar dan mengikut cara-cara Rasulullah SAW dalam mengerjakan umrah dan haji. Sesungguhnya Rasulullah SAW merupakan contoh yang terbaik bagi mita umat manusia.

اَلْحَجُّ الْمَبْرُوْرُ لَيْسَ لَهُ جَزَاءٌ إِلاَّ الْجَنَّةُ

Maksudnya: “Haji yang mabrur tiada baginya balasan selain syurga”. (H/R Ahmad, Bukhari 2/198, Muslim 4/170 dan selain mereka)

Sempurnakanlah umrah dan haji kerana Allah SWT dengan penuh keikhlasan. Sememangnya banyak dalil-dalil dari sunnah yang sahih dan juga dalil-dalil dari Al-Quran yang menunjukkan bahawa umrah dan haji itu wajib dilaksanakan oleh setiap individu yang beragama Islam.

Bersegeralah mereka yang berkemampuan untuk mengerjakan umrah dan haji kerana kita tidak pernah tahu sejauh mana umur kita dan adakah kita sempat untuk mengerjakan umrah dan haji sebelum kita dijemput oleh Allah SWT untuk meninggalkan semua yang kita miliki di dunia ini.

تَعَجَّلُوْا الْحَجَّ (يَعْنِيْ الْفَرِيْضَةَ) فَإِنَّ أَحَدَكُمْ لاَ يَدْرِيْ مَا يَعْرِضُ لَهُ.

Maksudnya: “Bersegeralah kamu menunaikan haji (haji yang wajib), kerana sesungguhnya seseorang dari kamu tidak mengetahui apa yang akan menimpa kepadanya”. (H/R Ahmad dan selain darinya)

Banyak tatacara yang digariskan untuk panduan bagi mereka yang baru pertama kali ingin mengerjakan umrah dan haji. Kalau nak di senaraikan satu per satu memang sangat-sangat banyak. Tapi saya akan cuba untuk ringkaskan agar memudahkan anda dan saya untuk memahami dan jadikannya sebagai panduan di saat ingin mengerjakan umrah dan haji.

1. Perkara pertama yang harus dilakukan adalah dengan mandi seperti seseorang itu mandi junub dan mempersiapkan diri dengan sebaik mungkin. Kemudian pakailah wangi-wangian yang tidak mengandungi alkohol dan seterusnya memakai pakaian ihram dengan kemas dan rapi seperti mana yang telah ditetapkan.

Pakaian ihram bagi lelaki sebagaimana yang kita sedia maklum ialah menggunakan 2 helai kain ihram iaitu satu daripadanya untuk dijadikan sebagai kain sarung dan sehelai lagi digunakan untuk menutup bahu. Manakala bagi wanita pula, cukup memakai pakaian yang telah disyariatkan akan tetapi tidak boleh menutup muka dan juga tidak boleh memakai sebarang sarung tangan.

2. Berihram dari  miqat dengan mengucapkan dan berniat:

لَبَّيْكَ عُمْرَةً

“labbaik ‘umroh” (aku memenuhi panggilan-Mu untuk menunaikan ibadah umrah)

Sekiranya anda takut anda tidak apat menyelesaikan kerana sakit atau terdapat sebarang masalah semasa dalam tempoh mengerjakan umrah, setelah anda berniat dan mengucapkan kalimah seperti di atas, anda boleh berniat dan mengucapkan kalimah seperti berikut:

اللَّهُمَّ مَحِلِّي حَيْثُ حَبَسْتَنِي

“Allahumma mahilli haitsu habastani” (Ya Allah, tempat tahallul di mana saja Engkau menahanku)

Dengan mengucapkan kalimah ini, sesiapa sahaja tidak kira seseorang itu mengerjakan umrah mahupun haji, jika seseorang itu terhalang daripada menyempurnakan manasiknya, dia dibenarkan untuk bertahallul dan tidak perlu membayar dam iaitu menyembelih seekor kambing.

Solat khusus bagi mereka yang berihram belum lagi ada dan sekiranya saat mereka berihram itu, masuk solat fardhu, mereka boleh mendirikan solat dan kemudian berihram setelah selesai mendirikan solat fardhu.

3. Setelah seseorang itu mengucapkan talbiah umrah seperti yang dinyatakan di atas, saya sangat menyarankan agar anda terus mengucapkan kalimah لَبَّيْكَ اللَّهُمَّ لَبَّيْكَ ، لَبَّيْكَ لَا شَرِيكَ لَك لَبَّيْكَ ، إنَّ الْحَمْدَ وَالنِّعْمَةَ لَك وَالْمُلْكَ لَا شَرِيكَ لَك dengan berulang-ulang kali dengan suara yang keras bagi lelaki dan wanita sudah memadai dengan suara yang lembut sahaja.

Bagi mereka yang belum mengerti maksud kalimah tersebut, maksudnya ialah:

(Aku menjawab panggilan-Mu ya Allah, aku menjawab panggilan-Mu, aku menjawab panggilan-Mu, tiada sekutu bagi-Mu, aku menjawab panggilan-Mu. Sesungguhnya segala pujian, kenikmatan dan kekuasaan hanya milik-Mu, tiada sekutu bagi-Mu)

Maksud yang sangat-sangat mendalam dan sekiranya kita mengucapkannya dengan penuh kefahaman dengan maksudnya, pastinya air mata kita jatuh berderai saat berada di depan kaabah. Perasaan sayu, gembira dan macam-macam perasaan bercampur aduk yang pastinya akan sentiasa lekat di hati kita sebagai kenangan yang terindah.

4. Sekiranya anda berkesempatan, mandi atau bersihkan terlebih dahulu badan sebelum memasuki kota Mekah. Ingat dan tanamkan dalam diri setiap kali melangkah masuk ke Masjidil Haram, dahulukan kaki kanan dan bacalah doa memasuki masjid.

5. Cuba sedaya upaya untuk mendekati hajarul aswad. Sebaiknya, carilah peluang dan cubalah ambil peluang untuk mengucup hajarul aswad. Namun sekiranya tidak mampu untuk mengucupnya, anda boleh mengusapnya dengan tangan kanan dan mencium tangan yang mengusap hajarul aswad tadi. Sekiranya anda tidak mampu untuk mendekati hajarul aswad, cukup sekadar dengan anda memberi isyarat kepada hajarul aswad dengan menggunakan tangan tetapi, anda jangan pula mencium tangan tersebut. Ini dilakukan dalam setiap pusingan.

6. Kemudian mulakan tawaf sebanyak 7 pusingan yang bermula dari hajarul aswad dan berakhir juga di hajarul aswad. Tetapi bagi mereka yang tawaf agak jauh dari Kaabah, anda boleh ikuti lampu hijau yang disediakan sebagai penanda permulaan melakukan tawaf dan juga berfungsi sebagai penanda penamat tawaf bagi setiap pusingan.

Tidak ada bacaan tertentu atau zikir-zikir tertentu semasa anda melakukan tawaf. Namun saranan saya perbanyakkan doa seperti رَبَّنَا آَتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآَخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ (Ya Rabb, kurniakanlah kepada kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat serta selamatkanlah kami dari seksaan api neraka). Anda juga boleh membaca doa-doa harian yang anda ingat dan ada juga yang membaca Al-Quran sambil mengerjakan tawaf.

Setelah anda selesai mengerjakan tawaf, tutupkan bahu anda dan teruslah ke makam Nabi Ibrahim dan dirikan solat sunat tawaf di belakang makam Ibrahim. Setelah itu, minumlah air zam-zam yang disediakan atau yang anda bawa bersama.

7. Kemudian mengerjakan sa’ie. Apabila anda sudah dekat dengan Bukit Safa, terus membaca:

إِنَّ الصَّفَا وَالْمَرْوَةَ مِنْ شَعَائِرِ اللَّهِ

Maksudnya: “Innash safaa wal marwata min sya’airillah” (Sesungguhnya Safa dan Marwah adalah sebahagian dari syiar Allah)

Kemudian ucapakan kalimah:

نَبْدَأُ بِمَا بَدَأَ اللَّهُ بِهِ

Apabila anda sudah berada di atas Bukit Safa, mengadaplah ke arah kiblat dan ucapakan kalimah:

(3x) اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ

لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ يُحْيِى وَيُمِيتُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَىْءٍ قَدِيرٌ

لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ أَنْجَزَ وَعْدَهُ وَنَصَرَ عَبْدَهُ وَهَزَمَ الأَحْزَابَ وَحْدَهُ

Kalimah ini di ulang sebanyak tiga dengans setiap satu ulangan selitkan untuk berdoa mengikut doa yang anda inginkan di antara satu ulangan dengan ulangan lain.

Kemudian anda berjalan turun dari Safa dan menuju ke Marwah. Kena ingat, anda tidak boleh keluar satu pintu lain dan memasuki pintu yang lain semasa mengerjakan sa’ie. Kita juga disunnahkan untuk berlari-lari anak bagi mereka yang berkempuan. Bagi mereka yang tua dan uzur, mereka boleh menggunakan kemudahan yang disediakan seperti kerusi roda dan sekarang ni juga disediakan skuter elektrik bagi memudahkan dan melancarkan ibadah anda.

Apabila anda sudah sampai ke Marwah ulang takbir yang anda ucapakan semasa berada di Safa dan pastikan anda mengadap kiblat dan juga selitkan doakan di antara satu ulangan dengan ulangan yang seterusnya. Terus mengerjakan sa’ie sehingga cukup bilangannya iaitu sebanyak 7 kali.

8. Setelah selesai anda bersa’ie, anda akan bertahallul iaitu membotakkan kepala atau anda boleh memendekkan sahaja rambut. Namun yang lebih afdal atau sebaiknya bercukur sehingga tiada rambut bagi kaum lelaki sahaja. Bagi kaum wanita, anda memadai hanya dengan mengguntingkan sedikit rambut anda sahaja.

Setelah semuanya selesai, maka berakhirlah ibadah umrah anda. Kemudia anda boleh menetapkan apa sahaja aktiviti dan pengisian yang anda inginkan sebelum pulang ke Tanah Air. Anda bolehlah beribadah dengan sepenuh hati dengan ibadah-ibadah sunat dan menghabiskan masa di Masjidil Haram.

Akhir kata, sekiranya terdapat kesalahan dalam penulisan saya ini, anda boleh menegur saya supaya kita sama-sama dapat berkongsi ilmu yang bermanfat dengan semua orang dan memudahkan perjalanan dalam mengerjakan ibadah umrah atau haji. Saya sentiasa mendoakan agar kita diberi kesempatan untuk menjadi tetamu Allah SWT untuk menjejakkan kaki ke bumi yang penuh barakah iaitu Tanah Suci Mekah.

Kongsikan:

Share on facebook
Facebook
Share on telegram
Telegram
Share on twitter
Twitter

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *