Pengalaman Manis Mengerjakan Umrah Dan Menjadi Tetamu Istimewa Allah SWT

Hati ini terdetik dan terpanggil untuk mengambarkan sedikit kisah tentang pengalaman yang saya sendiri alami dan saya sendiri merasainya. Pengalaman umrah pertama kami. Pengalaman umrah yang tidak pernah terfikir oleh kami untuk ditempuhi dalam masa terdekat. Semoga kisah kami menjadi antara penyebab dipermudahkan umrah untuk rakan-rakan semua.

Sebelum kami melakukan umrah kami sempat menziarahi kawan yang sedang sakit dan tengah melawan kanser tahap 3. Kawan kami juga sudah pergi menemui pencipta dan semoga roh nya dicucuri rahmat. Arwah sempat berpesan kepada saya dan suami supaya banyak berdoa dan antara doa yang arwah sangat tekankan adalah supaya berdoa untuk menjadi tetamu istimewa Allah. Allahuakbar. Pada masa itu, saya terfikir dan tertanya-tanya, adakah saya insan hina dan kerdil ini layak untuk menjadi tetamu Allah. Arwah berpesan supaya sentiasalah berdoa dan selitkan doa supaya saya menjadi tetamu Allah kerana akan tiba masanya, Allah akan menjemput kita untuk menjadi tetamuNya yang istimewa untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci. InsyaAllah keajaiban akan berlaku untuk kita.

Saya hanya bersangka baik dan mengamalkan doa supaya saya di jemput oleh Allah SWT ke Tanah Suci. Sentiasalah berdoa kerana Allah SWT itu Maha Mendengat dan Maha Mengetahui.

Kisah Perjalanan Kami Ke Tanah Suci

Tetamu Istimewa 1:

Keistimewaan yang pertama yang kami terima ialah, semasa kami masih berada di Tanah Air di mana kami menerima panggilan dari agensi umrah yang mengatakan kami akan berangkat lebih awal iaitu 3 hari lebih awal. Kami terpaksa berangkat awal kerana terdapat beberapa masalah yang berkaitan visa akan tetapi kami bersyukur kepada Allah SWT kerana kalau di ikutkan, 3 hari lebih awal bermaksud kami akan berada di Tanah Suci pada malam-malam terakhir Ramadhan. Memang sesuatu yang tidak pernah tergambar di fikrian kami kerana kalau ikutkan harga pakej memang perbezaan yang ketara jumlah bayaran yang dikenakan untuk umrah malam-malam terakhir Ramadhan. Mungkin tidak termampu oleh kami sekiranya tidak mendapat peluang keemasan sebegini.

Tetamu Istimewa 2:

Suami saya menginginkan untuk berhari raya di sana iaitu di Masjid Nabawi disamping makam Rasulullah SAW tapi saya pula menginginkan untuk Ramadhan sahaja disana. Menurut sahaja idea suami, kami menempah pakej hari raya. Tapi Allah makbulkan permintaan kami kerana saya pun dapat berpuasa semasa berada di sana dan seterusnya menyambut Syawal disamping makam Rasulullah SAW. Suatu pengalaman yang tidak pernah terfikir oleh saya. Betapa bersyukurnya saya dengan kurniaan Allah SWT berikan kepada saya.

Tetamu Istimewa ke 3:

Kami tiba di Jedaah Airport pada pukul 6.30 petang waktu tempatan. Masa tu dah hampir untuk iftar. Pakej umrah yang kami sertai mempunyai 5 buah bas dalam satu agensi yang sama. Memang ramailah kan jemaah yang ada. Kami terpaksa berbaris panjang untuk melalui pemeriksaan yang dilakukan oleh pihak imigresen Saudi. Apa yang sangat menyentuh hati saya pada ketika itu, kami sudah berbaris selama 5 minit, dengan izin Allah SWT, kami dipanggil oleh pengawal untuk meggunakan laluan yang lebih pendek. Dari situ lah saya sedar bahawa kekuatan doa itu sangat penting. Sesungguhnya dengan izin Allah SWT, kami tidak perlu beratur lama untuk melepasi pemeriksaan imigresen dan kami sempat untuk menunaikan solat maghrib di surau airport tersebut sementara jemaah lain masih lagi berada di dalam barisan menunggu giliran. Bukan kami je yang lepas awal, terdapat dalam 5 atau 6 pasangan yang turut melepasi dan kami menunaikan solat bersama-sama.

Tetamu Istimewa ke 4:

Di sini saya ingin menekankan bahawa, umrah pada musim Ramadhan sedikit berbeza dengan umrah pada bulan-bulan lain. Apabila masuk fasa terakhir dalam bulan Ramadhan, keadaan akan menjadi sesak dan padat dengan para jemaah yng berlumba-lumba untuk beribadah dengan sebanyak mungkin. Keadaan ini bukan sahaja berlaku di Baitullah, malahan juga berlaku di Raudhah. Kumpulan umrah saya tidak dapat memasuki Raudhah kerana kesuntukan masa dan mutawwif wanita sibuk untuk mempersiapakn diri untuk pulang menyambut Syawal di Tanah Air. Namun sekali lagi dengan izin Allah SWT, ketika saya sedang membeli ole-ole untuk dibawa pulang ke Tanah Air, saya terpandang satu rombongan yang juga datang dari Malaysia. Saya meringankan mulut untuk bertanya hendak ke mana kepada mereka. Mereka membalas untuk ke Raudhah. Tanpa di duga saya memberitahu mereka yang saya nak ikut mereka. Dengan izin Allah SWT dan izin suami, saya berkesempatan untuk menziarahi makam Rasulullah SAW yang mana ahli kumpulan saya yang lain tidak berpeluang untuk merasainya. Bagi suami pula senang sahaja untuk ke Raudhah kerana bukan susah untuk lelaki masuk ke Raudhah.

Sekian sahaja perkongsian ibadah umrah yang boleh saya kongsikan untuk tatapan rakan-rakan sekalian yang ingin mengerjakan umrah. Berdoalah dengan penuh ketekunan dan keikhlasan kerana Allah SWT Maha Mendengar. InsayAllah semua urusan kita akan dipermudahkan oleh Allah SWT.

Kredit: Sue Liena

Kongsikan:

Share on facebook
Facebook
Share on telegram
Telegram
Share on twitter
Twitter

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *