9 Tips Memilih Pakej Umrah Sesuai Dengan Bajet Dan Kemampuan Anda

Sedar tak sedar, sebenarnya ramai juga yang telah tertipu dengan harga murah yang ditawarkan oleh sesetengah agensi untuk Pakej Umrah. Murah pula, murah yang jenis tak masuk akal. Walaupun mereka yang tertipu ini sudah diberikan nasihat berkali-kali, namun masih juga terpedaya dengan janji manis yang ditawarkan oleh sesetengah agensi yang tidak bertanggungjawab.

Persoalan yang sering bermain di kepala kita ialah, mengapa? Mengapa mereka mudah tertipu? Mengapa dan mengapa? Mengapa kita masih tidak mempedulikan langsung tentang nasihat dan teguran orang lain? Janganlah kita hanya memilih untuk mendapatkan yang murah sahaja tetapi kemudahan dan kebajikan kita di sana terabai.

Sekiranya anda terjumpa travel agent yang menawarkan pakej umrah yang berharga bawah RM4000 atau RM5000, janganlah mudah terpedaya dan percaya secara terus tanpa usul periksa terhadap mereka. Sebaliknya buatlah sedikit kajian untuk dapatkan maklumat tentang mereka ini terlebih dahulu sebelum membuat keputusan.

Tips Memilih Pakej Umrah Mengikut Bajet Anda

1. Harga Pakej Yang Di Tawarkan

Sebelum apa-apa keputusan anda buat, anda kena lihat apa yang ditawarkan oleh pihak agensi Umrah terlebih dahulu. Apa pengisian yang disediakan kepada jemaah sepanjang berada di sana. Yang penting adalah program yang ‘menghidupkan’ jiwa seluruh jemaah sama ada secara individu atau berkumpulan. Semasa kita berada di Malaysia, kita mungkin kita akan bersikap lebih individualistik terutamanya untuk menghabiskan masa bersama keluarga sendiri. Tetapi sebaliknya berlaku di sana kerana di sana kita sudah bercampur gaul dengan semua orang tidak kira satu kumpulan rombongan dengan kita ataupun tidak. Ikatan ini akan menjadi lebih mesra seperti sebuah keluarga apabila kita pulang ke Tanah Air.

Jadi, nasihat saya kepada semua, janganlah hanya lihat pada beg sandang, telekung, ihram, beg roda kecil, sarung kasut, buku panduan umrah. Kebanyakan pakej umrah memang sediakan secara percuma. Setakat ini boleh dikatakan semua agensi umrah akan mengagihkan air zam-zam 5 liter seorang untuk dibawa balik Malaysia. Itu memang sudah termasuk dalam pakej yang ditawarkan.

2. Jumlah Bilangan Hari Yang Di Tawarkan Yang Terdapat Di Dalam Pakej

Sebagai bakal jemaah untuk mengerjakan umrah, kita kena bijak membaca iklan dan melihat jadual aktiviti yang dikeluarkan oleh pihak agensi Umrah. Ada hari yang kita akan habiskan waktunya di atas kapal terbang, transit di lapangan terbang dan bila sampai sudah habis satu hari. Boleh jadi ada yang sampai 2 hari sekiranya penerbangan tertunda.

Oleh itu, kita kena tolak siap-siap masa dari jadual penerbangan supaya kita betul-betul dapat memaksimakan waktu untuk dimanfaatkan sebaik mungkin apabila kita berada di sana. Kebiasaannya 4 hari di Madinah dan 8 hari di Mekah adalah satu pakej yang wajar disediakan oleh pihak agensi.

3. Jarak Dari Hotel Ke Masjid

Saya pasti ini merupakan satu isu sensitif, terutamanya bagi jemaah warga emas dan yang memerlukan kerusi roda untuk bergerak. Selalunya orang kita harga tidak menjadi masalah sangat janji jarak hotel ke masjid dekat. Tetapi sekali lagi di ingatkan, kosnya semestinya agak tinggi berbanding dengan pakej yang jarak hotelnya jauh sedikit dari masjid.

Namun apa pun ini semua juga bergantung kepada rezeki masing-masing. Ada pengalaman seorang teman yang baru balik umrah menceritakan beliau dijanjikan 300m dari Masjidil Haram. Apabila sampai di sana, jaraknya dah jadi 800m untuk ke Masjidil Haram.

4. Berapa Bilangan Jemaah Yang Di Tetapkan Di Dalam Satu Bilik?

Harga pakej yang dikenakan akan berbeza kerana mengikut keperluan asas yang akan disediakan oleh pihak travel seperti:

  • Bilik Berdua – 2 katil sebilik
  • Bilik Bertiga – 3 katil sebilik
  • Bilik Berempat – 4 katil sebilik
  • Bilik Berenam – 6 katil sebilik

Namun, kita kena tahu bahawa walaupun kita duduk ramai dalam satu bilik, terdapat juga hotel yang caj peserta ikut harga bilik dan ada yang caj peserta mengikut harga katil. Inilah sebenarnya yang menjadikan pakej yang ditawarkan akan berbeza mengikut hotel, jarak, jumlah bilik dan bilangan katil.

Jika pergi seorang diri, bersedialah untuk ditetapkan oleh pihak agensi untuk diletakkan dalam sebuah bilik sama ada berempat, berlima atau berenam. Jika pergi bersama keluarga, kita ada pilihan hendak pilih bilik yang sesuai dengan jumlah ahli keluarga kita.

5. Syarikat Penerbangan Yang Akan Digunakan

Kalau syarikat penerbangan yang digunakan mempunyai banyak transit macam Pakistan Airlines, nanti ada pula jemaah yang tak tahan badan. Boleh demam bila sampai di sana atau masa balik nanti . Kebiasaannya yang menjadi pilihan kebanyakkan agensi adalah syarikat penerbangan MAS atau Saudi Airlines.

Kebanyakan orang Malaysia semestinya lebih sukakan MAS. Ini kerana layanan yang mesra dan juga makanannya pun boleh tahan mewah juga. Cuma bab nak solat nanti payah sikit sebab mereka tak benarkan jemaah berdiri untuk menunaikan solat dalam kapal terbang semasa penerbangan. Oleh itu jemaah hanya dapat bersolat dalam keadaan duduk atau solat menghormati waktu atas kerusi masing-masing sahaja. Ketika pergi mungkin tak ada masalah. Waktu pulang itu kiblat berada di belakang kita. Bab ini nanti kenalah merujuk mutawif masing-masing ya tentang cara nak laksanakan solat dalam kapal terbang dengan betul.

Secara jujur dan ikhlas saya sendiri memilih Saudi Airlines sebab ada ruang solat agak luas disediakan. Boleh solat berjemaah lagi. Tambahan pula jemaah boleh manfaatkan masa selama 8 ke 9 jam perjalanan mendengar alunan bacaan Al-Quran yang disediakan melalui saluran televisyen yang disediakan di belakang tempat duduk. Tempat duduknya juga sedikit luas tetapi bergantung kepada jenis kapal terbang juga. Paling penting ianya merupakan penerbangan terus tanpa transit yang panjang dan memenatkan jemaah.

6. Khidmat Bimbingan Dari Mutawwif

Ada agensi yang menyediakan Ustaz atau Ustazah yang datang bersama jemaah bermula dari KLIA lagi. Ada pula yang sudah sedia menunggu di Madinah atau di Mekah. Sesetengah agensi menggunakan khidmat pelajar Malaysia atau Indonesia sebagai mutawwif. Ini semua bergantung kepada pakej yang disediakan kerana mutawif memang antara syarat wajib yang perlu agensi sediakan.

7. Berapa Kalikah Dapat Mengerjakan Umrah Bersama Mutawwif?

Bagi yang pertama kali menjejakkan kaki ke Tanah Suci, khidmat mutawwif amat diperlukan. Bagi yang sudah berkali-kali sampai mereka sudah kurang memerlukan khidmat mutawwif. Kadang tu hanya nampak muka dia sekali sahaja masa di airport dan dalam bas. Selepas itu mereka yang sudah berkali-kali ini sudah ada program sendiri dan boleh bergerak tanpa bantuan mutawwif.

Ada travel pakej umrah yang mana mutawwif mereka membawa jemaah mengerjakan 2 kali umrah atau 3 kali umrah dan ada juga sehingga 4 kali. Ini bergantung pada jadual ziarah dan berapa hari penginapan di Mekah. Umrah wajib bergantung di mana kita turun dari kapal terbang. Jika yang turun di Madinah dulu akan mula bermiqat di Bir Ali manakala bagi yang turun di Mekah, mereka sudah memakai pakaian ihram siap-siap di KLIA lagi dan mereka akan berniat miqat di atas kapal terbang.

8. Keselesaan Semasa Menunaikan Ibadah Di Haramain

Bukan senang untuk kita sampai ke Haramain. Bab duit tak payah cakap lah, memang kena tebal lah ye. Namun yang paling utama, cuba cari agensi yang mengambil berat dan dapat membantu jemaah apabila jemaah menghadapi sebarang kesukaran. Perkara asas ini juga akan membantu untuk memudahakan kita dalam mengerjakan ibadah.

Walaupun syarikat itu sudah mempunyai nama yang sentiasa menjadi sebutan di kalangan jemaah yang pernah mengerjakan umrah, kadang-kadang mereka juga ada yang terlepas pandang tentang perkara sebegini. Kebanyakannya, lain yang diipromosikan, lain pula yang dapat bila tiba ke Tanah Suci. kadang-kadang tu ada jemaah yang dapat bilik hotel yang bocor, masalah bekalan air, jaraknya jauh dari masjid dan paling menyayatkan hati adalah jemaah ditinggalkan oleh mutawwif itu sendiri. Sebab itu lah kadang-kadang kita ada mendengar berita jemaah sesat dan hilang di Tanah Suci walaupun itu sememangnya tugas mutawwif agensi tersebut untuk membimbing jemaah.

Walaubagaimanapun, kita tidak boleh menyalah pihak mutawwif semata-mata juga kerana kita berada di tempat yang ramai orang. Saya nak nasihatkan agar anda seboleh-bolehnya, sentiasalah rapat dengan mutawwif yang menjadi pembimbing kumpulan kita dan rajin bertanya sekiranya terdapat kekeliruan apabila anda mempunyai masa lapang. Selain hubungan kita dengan mutawwif lebih rapat dan mesra, ia memudahkan juga mutawwif untuk ingat kita barulah tak hilang atau ditinggalkan.

Kalau nak diikutkan, banyak perkongsian dan ilmu yang nak dikongsikan oleh mutawwif kepada jemaah di bawah seliaannya, tetapi biasalah masing-masing sibuk untuk berlumba-lumba untuk beribadah. Jadi, gunakan setiap masa lapang untuk mendekatkan diri dengan mutawwif. InsyaAllah mana kita tahu kan takut-takut perkongsian mereka juga dapat membantu kita di masa hadapan.

9. Kursus Dan Taklimat Yang DiSediakan

Pada kebiasaannya, kursus mengerjakan umrah akan disediakan oleh pihak agensi. Semasa kursus dijalankan, pihak agensi akan mengajar para jemaah bermula dari A hingg ke Z. Tidak kurang juga ada yang banyak bercerita tentang lawatan dan perjalanan semasa mengerjakan umrah. Tetapi, ada juga pihak agensi mengadakan kursus seolah-olah semua jemaah pernah pergi mengerjakan umrah dan ahirnya menyebabkan jemaah kurang faham tentang perjalan semasa umrah.

Oleh disebabkan itulah beruntungnya kalau kita dapat pergi bersama mutawwif yang sama yang menyampaikan taklimat semasa kita pergi menjalani kursus umrah kerana kemesraan itu kita sudah ada. Jemaah sudah selesa dan mengenalinya dari Tanah Air lagi. Jadi mudah untuk kita merujuk kepada mereka dan senang jika ada sebarang masalah di sana nanti.

Secara kesimpulannya, kita perlu apabila kita di jemput oleh Allah SWT ke Tanah Suci, kita merupakan salah seorang tetamu Allah yang terpilih. Sebelum kita berangkat untuk mengerjakan umrah, kita wajib mengauditkan diri kita terlebih dahulu supaya kita dapat membuat persiapan diri yang sewajarnya.

Ia  juga bukan masalah pakej yang kita kena bayar tetapi dengan siapa sekalipun kita berjalan di Tanah Suci, ingatlah, kita tetap akan berjalan sebagai seorang HAMBA kepada Allah SWT. Beribadah dengan sepenuh hati dan penuh dengan keinsafan. Semoga kita semua dimurahkan rezeki untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci.

Kongsikan:

Share on facebook
Facebook
Share on telegram
Telegram
Share on twitter
Twitter

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *