Apakah Perbezaan Umrah Dan Haji Mengikut Panduan Islam

Apabila terdapatnya orang kampung atau jiram tetangga kita menyatakan mereka akan berangkat menunaikan ibadah umrah, kita sering tertanya-tanya apakah maksud umrah yang sebenar-benarnya dan apakah pula perbezaan antara umrah dan haji.

Pada kebiasaannya, ibadah Haji di kenali sebagai haji besar manakala umrah di kenali sebagai haji kecil. Oleh yang demikianlah ramai di antara kita yang masih kurang jelas tentang perbezaan antara umrah dan haji. Haji merupakan salah satu ibadah yang wajib dilakukan sebagaimana dituntut di dalam rukun Islam bagi mereka yang berkemampuan.

Manakala umrah tidaklah diwajibkan untuk kita mengerjakannya, namun ada jumhur ulama berpendapat dengan mengatakan umrah adalah wajib untuk kali pertama dan menjadi sunat bila dilakukan berulang kali. Sebagaimana hadis Nabi SAW yang bermaksud:

“Islam dibangunkan di atas lima perkara iaitu: Bersaksi tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan Nabi Muhammad pesuruh Allah, menunaikan solat, mengeluarkan zakat, menunaikan haji dan berpuasa di bulan Ramadhan.(Riwayat Tarmizi dan Muslim)”

Jadi saya mengambil inisiatif ini untuk berkongsi sedikit pengetahuan yang saya perolehi melalui pembacaan saya dan dengan izin Allah untuk menjelaskan lagi perbezaan antara umrah dan haji. Umrah dan haji sememangnya memberikan maksud yang berbeza.

Umrah dari segi bahasa membawa maksud ziarah. Apabila seseorang itu dikatakan mengerjakan umrah, maksudnya seseorang itu melakukan ziarah atau pergi ke tempat yang dimakmurkan. Manakala Dari sudut syarak pula bermaksud pergi ke Baitullah Al-Haram pada bukan waktu haji untuk menunaikan ibadah tertentu dengan syarat-syarat tertentu.

Haji pula dari segi bahasa bermaksud menuju ke sesuatu tempat. Manakala dari sudut hukum syarak pula bermaksud menuju ke Baitullah Al-Haram untuk menunaikan ibadah yang khusus dengan syarat yang tertentu.

Baiklah, sekarang kita pergi dengan lebih terperinci dalam membezakan ibadah umrah dan haji seperti berikut:

1. WAKTU

  • Waktu yang ditetapkan untuk menunaikan ibadah haji adalah pada 1 Syawal sehingga sebelum fajar pada 10 Zulhijjah.
  • Waktu bagi mengerjakan ibadah umrah pula tidak ditetapkan dan seseorang individu itu bebas untuk mengerjakan ibadah umrah pada bila-bila masa sahaja jika berkemampuan pada masa tertentu.

2. WUQUF

  • Dalam kita mengerjakan ibadah haji, kita wajib berwuquf di arafah pada 9 Zulhijjah yang mana ia merupakan salah satu rukun haji.
  • Manakala bagi ibadah umrah, kita tidak perlu berwuquf di arafah sebagaimana yang diwajibkan bagi ibadah haji.

Rukun-rukun lain selain dari berwukuf, semuanya sama di antara umrah dan haji. Jadi saya mendoakan agar anda semua dapat membezakan antara rukun haji dan rukun umrah dengan betul sebelum anda mengambil kata putus untuk menunaikan ibadah umrah dan haji.

Dalam mengerjakan ibadah haji, ia memerlukan tenaga yang lebih banyak berbanding dengan mengerjakan ibadah umrah. Hal ini kerana ibadah haji memakan masa yang lebih banyak berbanding mengerjakan ibadah umrah. Anda haruslah meningkatkan tahap ketahanan fizikal sekirannya anda ingin mengerjakan ibadah haji kerana ia terbukti kegiatan atau aktiviti yang dilakukan semasa mengerjakan ibadah haji lebih banyak berbanding dengan mengerjakan umrah.

Jadi, walaupun anda mengatakan bahawa anda pernah mengerjakan umrah, itu tidak menjamin anda mempunyai ketahanan fizikal yang tinggi untuk mengerjakan ibadah haji. Sentiasalah menjaga kesihatan diri kita dalam menjamin kelancaran semasa mengerjakan ibadah di Tanah Suci.

Bermalam di Mudzalifah, bermalam di Mina dan melontar jamrah Al-Aqabah adalah termasuk didalam amalan-amalan yang dilakukan semasa mengerjakan ibadah haji yang mana perkara ini tidak dilakukan semasa kita mengerjakan ibadah umrah.

Untuk lebih memudahkan anda semua saya akan bahagikan kepada dua bahagian untuk membezakan umrah dan haji seperti berikut:

HAJI

1. Masa

  • Waktu mengerjakan ibadah haji bermula pada 1 Syawal sehingga 10 Zulhijjah.

2. Hukum

  • Merupakan salah satu rukun Islam yang wajib kita tunaikan sekali seumur hidup dan bagi mereka yang berkemampuan.

3. Rukun mengerjakan haji adalah seperti berikut:

  • Niat
  • Wuquf di Arafah
  • Tawaf di Baitullah
  • Sa’ie di antara Safa dan Marwah
  • Bergunting atau bercukur (sekurang-kurangnya 3 helai)
  • Tertib

4. Wajib Haji

  • Berniat dan berihram di Miqat
  • Bermalam di Mudzalifah
  • Melontar jamrah Al-Aqabah
  • Bermalam di Mina
  • Melontar ketiga-tiga jamrah
  • Meninggalkan perkara-perkara yang dilarang semasa berada dalam ihram

UMRAH

1. Masa

  • Umrah boleh dilakukan pada bila-bila masa sahaja yang diingini oleh seseorang individu.

2. Hukum

  • Ada sesetengah pendapatan jumhur ulama mengatakan bahawa umrah adalah wajib bagi pertama kali dan merupakan sunat bila di lakukan pada kali yang seterusnya.

3. Rukun mengerjakan umrah adalah seperti berikut:

  • Niat
  • Tawaf di Baitullah
  • Sa’ie di antara Safa dan Marwah
  • Bergunting atau bercukur (sekurang-kurangnya 3 helai)
  • Tertib

4. Wajib Umrah

  • Berniat dan berihram di Miqat
  • Menjauhi larangan semasa ihram

Ingatlah, perjalanan kita menuju ke Tanah Suci bukan sekadar perjalan jasad kita sahaja akan tetapi juga merupakan perjalanan “rabbani” yang mana turut serta membawa keikhlasan dan ketulusan hati. Perjalanan ini juga merupakan satu persiapan rohani kita sebagai seorang Islam ke arah mendekatkan diri kepada Allah SWT dan mengeratkan hubungan kita dengan Pencipta sekalian alam yang mana selama ini kita lalai dalam kesibukan duniawi.

Firman Allah SWT di dalam surah Al-Baqarah, ayat 196 yang bermaksud:

Dan sempurnakanlah ibadah haji haji dan umrah kerana Allah

Ganjaran yang cukup besar disediakan oleh Allah SWT sebagai ganjaran kepada mereka yang mengerjakan haji dan umrah di dalam bulan di antara 1 Syawal sehinggal 10 Zulhijjah sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Daripada satu umrah ke umrah berikutnya adalah penghapus semua kesalahan serta dosa yang berlaku antara keduanya. Haji yang mabrur (yang dilakukan dengan ikhlas dan sempurna) itu tidak ada ganjarannya yang setimpal melainkan syurga.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Sesiapa yang mengerjakan haji atau umrah dan memperolehi umrah dan haji yang mabrur, apabila pulang ke tanah air ia di ibaratkan seperti bayi yang baru lahir. Betapa besarnya ganjaran yang Allah SWT berikan untuk kita. Tetapi beribadahlah dengan seikhlas-ikhlasnya dan jangan pula mengharapkan ganjaran daripada Allah SWT semata-mata. Semoga kita bersama-sama memperolehi umrah dan haji yang mabrur. Amin.

Kongsikan:

Share on facebook
Facebook
Share on telegram
Telegram
Share on twitter
Twitter

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *