Rasa macam nak share sikit tips untuk yang bakal mengerjakan umrah pada musim sejuk. Saja nak kongsi pengalaman umrah kami baru-baru ni. Yang baik, ambik. Yang kurang, buang jauh-jauh okay.
1) Baju Sejuk Adalah Kewajipan.
Untuk yang nak pergi hujung bulan Disember ni sehingga bulan Febuari, tolong bawa baju sejuk. Sebab sekarang tengah musim sejuk. Dan Madinah sangatlah sejuk, walaupun tak bersalji macam negara-negara lain yang ada musin sejuk.
Makkah tak berapa sejuk, tapi ada waktu-waktu tertentu yang membuatkan kita terketar-ketar jugak. Baju sejuk tu pastikan yang elok sikit ya. Jangan la bawa yang terlalu nipis, atau terlalu ringan, atau yang orang buat pakai terbalik masa naik motor tu.
Masa saya pergi hari tu, waktu subuh memang kena berlapis-lapis sweater sebab tak tahan. Secara faktanya, ada jemaah yang pakai winter coat yang berbulu-bulu tu. Berbulu je jemaah lain tengok. Yang penting, kita sendiri rasa selesa nak buat ibadah.
2) Losyen Badan dan Pelembap Bibir.
Wajib bawa dua benda ni. Cari la yang berkualiti dan less oily. Saya guna jenama Vaseline (untuk dua-dua lotion dan lip balm). Kat sana memang kena pakai hari-hari. Bibir terbelah, kulit kaki tangan merekah itu biasa. Kalau dibiarkan, memang pedih lah jawabnya.
3) Face Mask Bawa Banyak-Banyak.
Touch down je dari kapal terbang, terus pakai. Yang perempuan boleh pakai niqab kalau face mask tu macam susah nak pakai. Tapi kena bawa banyak helai la niqab tuh. Setiap hari kena tukar atau bergilir-gilir menggunakan yang bersih. Lepas je pakai terus basuh, jangan guna berkali-kali baru nak basuh tau.
Dekat sana udara kering, angin kuat, debu pasir banyak, habuk construction banyak, orang ramai, virus dan bacteria senang sangat merebak. So face mask boleh mengurangkan risiko untuk mendapat penyakit, insyaAllah. Pastikan face mask sentiasa ada dalam handbag atau beg yang anda sentiasa bawa ke Masjid atau ke mana sahaja anda pergi. Sebolehnya pakailah setiap masa, kecuali waktu solat, tawaf dan umrah. Dan yang paling penting tukar setiap hari.
Saya perhatikan, orang yang konsisten pakai face mask / niqab, tak kena batuk atau selsema atau demam sepanjang berada di sana. Manakala orang yang malas pakai, walaupun dah ambik vaksin pun, masih lagi jatuh sakit.
Mesti ada yang cakap semuanya kuasa Allah. Ya betul. Tapi takkan kita nak tawakkal sahaja. Sedangkan Allah S.W.T turut berfirman supaya kita ikhtiar dan kemudian tawakkal.
4) Vaccine dan Medication.
Setiap orang yang pergi umrah wajib ambil vaksin meningococcal kan? Tapi saya suggest ambik extra lagi dua. Iaitu vaksin influenza (elak selsema) dan pneumococcal (kuatkan paru-paru). Vaksin perlu diambil paling lewat 2 minggu sebelum bertolak. Sebab hanya lepas 2 minggu, baru sistem imun badan aktif menerusi vaksin-vaksin tadi.
Sebagai tambahan, ubat-ubatan wajib bawa dari Malaysia. Melainkan, kalau korang kaya. Sebab dekat sana ubat sangat lah mencekik ye tuan puan. Dia punya mahal tu boleh diibaratkan tahap dari tengah demam terus rasa nazak tiba-tiba.
So bawa je ubat dari Malaysia siap-siap. Ubat demam, batuk, selsema, alahan, cirit birit, tahan gatal, minyak angin, antiseptic, fikir sendiri la apa yang perlu.
5) Sila Bersangka Kasut Hilang.
Kat sana, kasut hilang ni dah macam acara wajib setiap kali lepas solat. Selipar jepun pun hilang, apatah lagi kasut adidas mahupun asadi. Boleh dikatakan memang confirm akan hilang.
Tapi alhamdulillah, saya tak hilang mana-mana kasut. Rezeki saya, mungkin. Tapi suami saya hilang kasut kesayangan beliau di Masjid Nabawi. Dah bijak sangat pergi bawa kasut tu pergi solat.
Tapi sebab cuaca sejuk, memang kasut bertutup jauh lebih selesa la kan. Tapi tu lah. Kadang-kadang kena sedar jugak yang kita ni tak berapa kaya. Huhu.
Kat sana ada segelintir manusia yang kurang sopan perangainya. Setiap kali waktu orang solat, diorang akan pergi kat rak kasut dan ambil mana-mana kasut yang berkenan di hati, dan buat harta. Tak tahu lah ni kategori mala’un jugak ke apa.
Jadi, saya cadangkan bawa 3 pasang kasut. Satu kasut proper sikit untuk naik flight pergi balik. Dua lagi kasut murah sikit untuk ziarah dan untuk ke masjid. So kalau hilang, at least mental dah ready dan ada kasut extra.
6) Yang Bawa Anak Kecil, TENGOK Anak Setiap Masa.
Plan asalnya memang kami nak bawa anak kami sekali. Dah siap bayar deposit untuk dia, dah bagi vaksin dan dah buat passport. Cuma last minute Allah beratkan hati kami untuk tukar plan, atas nasihat mutawwif kerana keadaan Masjidil Haram sekarang yang menyebabkan kadar kehilangan jemaah terutama anak-kanak dan orang tua semakin meningkat.
Kepada yang belum tahu, Masjidil Haram sekarang tengah ada major construction yang melibatkan 1/3 daripada dataran tawaf kat kaabah tu. Ini menyebabkan tempat tawaf tu jadi lagi sempit dan sesak, banyak laluan dan pintu masuk diubahsuai, pengawalan dari pengawal keselamatan lebih “cerewet”, dan jemaah lebih mudah sesat sebab banyak laluan jadi sehala.
Tapi tak salah pun kalau nak bawa anak-anak. InsyaAllah banyak juga pengalaman yang secara lansung kita boleh mengajar kepada anak-anak kita kat sana kan. Tapi tolong berhati-hati dengan keadaan sekarang ni, jaga lah mereka baik-baik. Sentiasa pastikan mereka di depan mata.
7) Baca Sirah Nabi dan Sejarah Tempat Mekah dan Madinah.
Buatlah sedikit pembacaan tentang Makkah dan Madinah. Hal ini supaya setiap kali masuk Masjid Nabawi atau Masjidil Haram, hati kita terkesan dengan kita memahami kisah-kisahnya.
Baca juga kisah-kisah sirah Nabi Muhammad SAW. Supaya setiap kali pergi ziarah mana-mana tempat, kita dapat rasa semangat juang Rasulullah, kita semakin mangagumi dan mencintai Rasulullah. Bila betul-betul faham, kita akan menangis setiap kali melihat tapak-tapak peperangan dan bangunan bersejarah. Tengok padang pasir pun menusuk kalbu.
8) Cash: Jangan Bawa Banyak.
Nak bawa duit banyak mana, tu terpulang. Tapi kalau boleh, jangan simpan duit sekelepuk dalam satu beg. Dan kalau boleh, jangan bawa bila nak pergi masjid. Masa saya pergi hari tu, banyak kes handbag ditoreh di dataran tawaf. Duit hilang masa solat tu lagi lah biasa. Sampai ada yang hilang beribu riyal. So tawakkal, tawakkal jugak. Tapi tetap kena beringat, tetap kena berjaga-jaga.
9) Bab Shopping.
Secara peribadi, kalau pergi tempat orang, saya kurang suka untuk luangkan masa untuk shopping. Tapi lebih suka habiskan masa untuk explore kawasan.
Jalan-jalan pusing masjid dan kawasan sekeliling. Cari tempat-tempat kat mana diorang susun jenazah, cari tempat imam, cari laluan jenazah dibawa ke kubur, explore setiap sudut kaabah, dan sebagainya. Sebab benda yang paling kita rindu nanti ialah tempat tu sendiri.
Tapi kalau nak selit-selit shopping apa salahnya kan. Of course la nak beli cenderahati untuk keluarga ke apa. Bagi saya, kalau nak shopping makanan macam kurma dan sebagainya, lebih baik membeli di Madinah kerana lebih murah. Dan kalau shopping pakaian macam jubah arab dan sebagainya, lebih baik membeli di Mekah. Harganya lebih murah dan lebih banyak pilihan.
10) Waktu Paling Sesuai Untuk Tawaf.
Berdasarkan pengalaman saya, waktu tawaf paling tenang dan paling tak ramai orang adalah pada pukul 2-4 pagi, kecuali hari Khamis, Jumaat dan Sabtu. Sebab 3 hari ni, 24 jam dataran tawaf tu sesak. Sebab orang arab pun tengah berhujung minggu kan. So memang sesak dengan orang arab je la kalau hujung minggu.
11) Kalau Diberi Pilihan Nak Turun di Mana Dulu, Sama Ada Madinah atau Mekah?
Pada pendapat peribadi saya, kalau yang baru pertama kali mengerjakan umrah atau haji, lebih baik pergi Madinah dulu kot. Sekurang-kurangnya kita ada 4 hari untuk biasakan diri dengan perubahan cuaca, perubahan masa, pulihkan diri daripada mabuk kapal terbang, hilangkan penat 10 jam dalam kapal terbang, dan buat solat taubat banyak-banyak dulu sebelum bagi 100% komitmen untuk umrah di Makkah.
Kalau yang dah biasa pergi, takde masalah la nak turun di Mekah dulu dan pakai ihram dari KLIA. Tapi tenaga memang kena kuat la. Sebab lepas je mendarat, tu kena terus buat umrah 2-3 jam, sebelum boleh berehat kat hotel.
12) Ubah Sikap dan Pemikiran Dari Sekarang.
Mutawwif kami pesan, sebelum pergi sana kena biasa kan diri dari sekarang untuk sabar, kawal mulut dan percakapan, perbaiki hubungan suami isteri, solat awal waktu dan berjemaah, bersangka baik dengan setiap ujian Allah.
13) Pergi kelas fardhu ain.
Kat masjid-masjid atau surau-surau biasanya ada banyak kelas fardhu ain percuma. Rajin-rajinkanlah diri untuk menghadirkan diri sebelum pergi umrah.
Perkemaskan dan check balik solat, semak balik bacaan dalam solat, dan belajar solat jenazah. Sebab kat sana setiap waktu solat, mesti ada solat jenazah. Dan ganjaran solat jenazah ni bersamaan 2 bukit uhud. Nanti korang pergi Madinah boleh tengok la besar mana bukit uhud tu. Memang besar.
Dalam apa pun ibadah, jangan sekadar ikut hati atau ikut orang. Apatah lagi kita nak beribadah kat tempat paling mulia dalam dunia. Takkan taknak bagi yang terbaik kan.
Semoga sedikit perkongsian ini mampu memberikan seribu makna dan ilmu kepada kita semua. Saya mendoakan semoga setiap amalan yang kita lakukan mendapat keredhaan Allah dan sentiasa di rahmati oleh Allah SWT.
Kredit: Adlil Rajiah