Persiapan Diri Dan Panduan Umrah Mengikut Perspektif Islam

Sekiranya kita teliti, sebenarnya banyak panduan-panduan umrah yang dikongsikan dengan pelbagai kaedah sama ada melalui media sosial, bahan bacaan, kuliah-kuliah dan sebagainya. Dengan adanya perkongsian tentang umrah ini, secara tidak langsung ia memudahkan kita untuk mengerjakan umrah. Namun kita seharusnya memilih panduan yang betul dan berlandaskan tuntutan syarak.

Umrah turut disertakan dengan melakukan ihram, tawaf, sa’i dan bertahallul mengikut tertib yang telah ditetapkan.  Menurut mazhab imam As-Syafie, umrah wajib dilakukan sekali seumur hidup bagi setiap insan. Ia turut disokong dengan Ijmak Ulama bahawa umrah hanya wajib dilakukan sekali seumur hidup bagi setiap individu.

Ini turut dikuatkan lagi dengan firman Allah S.W.T yang bermaksud ” Dan sempurnakanlah ibadat Haji dan Umrah kerana Allah.” 

Walaubagaimanapun, ia tidak dikira berdosa sekiranya seseorang itu tidak melakukan umrah walaupun dia sudah mempunyai cukup syarat kemampuan. Namun begitu, ia lebih afdhal sekiranya seseorang itu menyegerakan umrah untuk melengkapkan tanggungjawab yang diwajibkan sebagai seorang muslim.

Apakah Kelebihan Mengerjakan Umrah?

Umrah adalah sunat dilakukan berulang kali dan lebih baiknya sekiranya kita melakukan umrah dalam bulan Ramadhan. Ini disokong oleh hadis seperti berikut yang bermaksud “daripada satu umrah ke satu umrah adalah penghapus dosa antara keduanya”:

اُُُلْعُمْرَةُ اِلَئ اَلْعُمْرَةِ كَفَّارَةٌ مَابَينَهُمَا

Antara hadis lainnya yang mana turut menyokong bahawa terlalu banyak kebaikan dalam mengerjakan umrah iaitu:

عُمرَةٌ فِي رَمَضَانَ تَعْدِلُ حَجَّةً

Maksudnya: “(Melakukan) satu umrah di bulan Ramadhan adalah menyamai (pahala) melakukan sekali haji”

Umrah adalah satu ibadah yang sangat mudah untuk kita mengerjakannya dan boleh dilakukan dalam masa satu hari sahaja. Namun ia turut bergantung kepada kemampuan dari pelbagai aspek termasuk kesihatan, kewangan untuk kita mengerjakan umrah dan banyak lagi.

Pada masa kini, kemudahan yang disediakan bagi para muslim dan muslimat yang mengerjakan umrah dan haji telah banyak disediakan. Kemudahan kerusi roda dan skuter elektrik turut disediakan bagi memudahkan golongan uzur seterusnya dapat membantu golongan ini melakukan tawaf dan saie dengan selesa.

Jadi, apakah lagi alasan kita untuk tidak mengambil berat tentang mengerjakan umrah? Apakah kita belum puas mengejar kekayaan dunia semata-mata?

Dari aspek Haji dan Umrah, ‘Rukun’ bermaksud perkara-perkara yang wajib kita lakukan tidak kira sama ada kita mengerjakan haji mahupun umrah sahaja. Kita kena ingat sekiranya perkara rukun ini kita tidak lakukan, umrah atau haji kita dikira tidak sah.

Sebaliknya pula bagi ‘Wajib’ ia memberikan maksud sama dengan Rukun iaitu perkara yang wajib kita lakukan semasa mengerjakan umrah atau haji. Akan tetapi sekiranya kita tidak melakukannya, umrah dikira sah namun kita wajib membayar dam untuk menyempurnakannya.

Apakah Rukun Umrah?

Terdapat 5 rukun umrah yang wajib kita ketahui iaitu:

  1. Berniat ihram
  2. Tawaf
  3. Saie
  4. Bergunting atau bercukur
  5. Tertib

Rukun-rukun ini wajib dilaksanakan oleh setiap muslim yang mengerjakan umrah. Rukun ini juga tidak boleh diwakilkan kepada sesiapa sahaja dan wajib dilaksanakan oleh individu itu sendiri. Sekiranya salah satu rukun ini tidak dilaksanakan secara sengaja atau tidak sengaja, Umrah dikira tidak sah.

Apakah Pula Wajib Umrah?

Terdapat 2 wajib umrah yang paling utama yang harus kita ketahui iaitu:

  1. Berniat ihram di miqat
  2. Meninggalkan pantang larang ihram

Wajib umrah merupakan rangkaian daripada amal yang mesti dilaksanakan oleh setiap individu semasa mnegerjakan umrah. Sekiranya seseorang itu tidak melaksanakannya, ia tetap dikira sah namun harus dibayar dam untuk menggantikannya. Dam yang dikenakan dalam bentuk penyembelihan kambing, biri-biri atau unta yang mana penyembelihannya harus dilakukan di Tanah Haram.

Persiapan dari segi mental dan fizikal sangat dititikberatkan. Ini supaya kita dapat melaksanakan umrah dengan lebih fokus dan berjalan lancar. Persiapan dari segi fizikal harus diberikan sepenuh perhatian.

Ramai yang sakit akibat perubahan cuaca yang sangat ketara berbanding dengan di Malaysia. Jadi kita harus membiasakan diri supaya dapat adaptasi cuaca di sana supaya setiap ibadat kita berjalan lancar.

Selain itu, persiapan rohani juga harus diberikan keutamaan supaya kita dapat menyucikan jiwa kita sebaik mungkin apabila kita sampai di sana. Persiapan yang rapi dari kedua-dua aspek ini mampu membantu kita untuk melakukan ibadah dengan lebih fokus dan insyaAllah dapat meningkatkan tahap keimanan kita. Amin.

Membersihkan dan mensucikan diri secara rohani boleh dilakukan dengan cara seperti bertaubat dan memohon keampunan daripada  Allah S.W.T, memperbaiki kekhusyukan dalam mendirikan solat, mengeluarkan zakat dan memohon kemaafan daripada orang lain yang pernah kita menyinggung perasaan mereka sama ada secara sedar mahupun secara tidak sedar. Ini sangat ditsekankan supaya kita sentiasa memperbaiki hubungan kita dengan Allah S.W.T dan sesama manusia.

Persiapan Diri Sebelum Mengerjakan Umrah Yang Harus Kita Perbaiki Dalam Hubungan Dengan Allah

1. Syahadah

Sebagai seorang muslim, kita harus memperbetulkan iktikad dalam memaknakan kalimah syahadah yang kita ucapkan, dengan cara kita memperteguhkan bahawa Allah itu ada dan menanamkan sepenuh keyakinan dalam diri kita bahawa kita dan seluruh alam ini diciptakan oleh Allah S.W.T.

Allah S.W.T berfirman dalam surah (Surah Al-Hujuraat: Ayat 15):

إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ الَّذِينَ آمَنُوا بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ ثُمَّ لَمْ يَرْتَابُوا وَجَاهَدُوا بِأَمْوَالِهِمْ وَأَنْفُسِهِمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ ۚ أُولَٰئِكَ هُمُ الصَّادِقُونَ

Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya kemudian mereka tidak ragu dan berjuang di jalan Allah dengan harta dan dirinya, merekalah orang-orang yang benar.”

2. Ikhlas

Dalam kita berusaha untuk menunaikan umrah dan haji yang dituntut oleh Allah S.W.T ke atas diri setiap insan bergelar muslim. Kita wajib membersihkan hati kita yang sudah banyak ‘tercemar’ dek kerana keegoan kita dan kerana ‘tunduk’ dengan nafsu kita selama ini dengan menanamkan sepenuhnya niat dihati dan berpegang teguh untuk mendapatkan keredhaan Allah S.W.T.

Jangan sesekali kita membiarkan hati kita terpesong dari mendapatkan keredhaan Allah dan berdoa agar Allah S.W.T mengampunkan segala kesalahan kita di masa lampau yang banyak khilaf dan lupa pada-Nya. Niat kita yang harus kita tanam dan berpegang teguh setiap hembus nafas kita semasa mengerjakan umrah adalah untuk mencari keredhaan Allah S.W.T.

Bebaskan diri kita daripada segala jenis tekanan dunia yang dapat memesongkan hati kita semasa beribadah sepanjang mengerjakan umrah. Tanamkan semangat dengan perasaaan tulus dan ikhlas untuk beribadah kepada Allah dengan penuh penghayatan dan keinsafan.

Sesungguhnya Rasulullah S.A.W pernah bersabda:

“Sesungguhnya amalan-amalan itu berdasarkan niatnya dan sesungguhnya bagi setiap orang apa yang ia niatkan, maka sesiapa yang berhijrah kepada Allah dan RasulNya maka hijrahnya adalah kepada Allah dan RasulNya, dan sesiapa yang hijrahnya kerana untuk menggapai dunia atau wanita yang hendak dinikahinya maka hijrahnya kepada apa yang dihijrahi.”(Hadis Riwayat Al-Bukhari r.a.)

3. Taubat Nasuha

Bertaubatlah memohon keampunan daripada Allah S.W.T di atas segala dosa-dosa yang pernah kita lakukan dan atas kelalaian kita. Tinggalkan segala perbuatan-perbuatan mungkar dan makruh supaya kita dapat bersihkan diri dari segala dosa-dosa dan perbuatan lampau kita.

Bertaubatlah dengan sebenar-sebenar taubat supaya kita dapat membersihkan diri sebelum mengerjakan umrah. Supaya kita dapat melaksanakan umrah dengan hati bersih. Antara syarat harus dipenuhi untuk taubat nasuha ialah:

  • Menyesal dengan sebenar-benar menyesal dengan dosa-dosa lampau.
  • Segera meninggalkan perbuatan dosa tersebut.
  • Berazam dan berusaha untuk tidak melakukannya.
  • Jika kita melakukan kesalahan sesama manusia, kita hendaklah memohon keampunan dan kemaafan daripada insan tersebut.

4. Tingkat Amalan

Jika sebelum ini kita jarang atau tidak pernah melakukan amalan-amalan seperti berzikir, membaca Al-Quran, qiamullai, bertafakkur, bersedekah (wang, harta, tenaga, lisan) dan sebagainya. Kita perlulah mempertingkatkan semua amalan tersebut dengan harapan kita dapat melakukannya dengan mudah di tanah suci kelak.

Jika ketika di Makkah dan di Madinah baru kita hendak melakukannya, maka akan menjadi suatu bebanan dan keterpaksaan yang akhirnya memaksa diri melakukannya juga. Amalan yang dilakukan kerana terpaksa, apabila balik ke tanah air, teramat sukar untuk kita teruskan sebagai amalan harian kita. Maka tiadalah penambahbaikan yang berlaku dalam diri kita.

Latihlah diri dengan mengamalkan zikir, membaca Al-Quran, qiamullai dan sebagainya sebelum berangkat ke tanah suci kerana latihan ini memerlukan kecekalan dan masa yang panjang.

5. Latih Diri Untuk Sentiasa Bersabar

Sifat sabar sangat diperlukan semasa kita ingin mengerjakan umrah tanpa kita sedar. Sejak dari hari terdetiknya dihati kita untuk mengerjakan umrah, pelbagai dugaan telah Allah S.W.T berikan untuk kita untuk melatih diri kita supaya sentiasa bersabar.

Pelbagai masalah yang timbul tanpa kita duga, pertengkaran suami isteri, pertengkaran dengan anak-anak, kekurangan wang, tahap kesihatan merudum dan pelbagai lagi. Ditambahkan lagi apabila kita berada di Tanah Suci, jutaan umat Islam berada dibawah satu bumbung yang sama untuk melaksanakan ibadah dengan pelbagai ragam sangat menguji kesabaran kita.

Adakalanya di tanah suci, hati kita terdetik tentang sesuatu perkara, ia akan berlaku tanpa disedari, maka tingaktkan tahap kesabaran kita sejak di tanah air lagi agar dapat mengawal perasaan, sentiasa berfikiran positif dan bersifat rendah diri. Anggaplah apa yang terjadi sebagai satu ujian untuk meningkatkan tahap kesabaran dan jauhilah sikap suka mengkritik dan merungut dengan apa yang berlaku ke atas kita.

Semoga perkongsian ini dapat menjadi panduan umrah anda. Sesungguhnya yang baik itu dari Allah dan yang buruk itu dari saya sendiri. Semoga setiap ibadah yang kita laksanakan mendapat keredhaan Allah dan kita ditempatkan bersama orang beriman kelak. AMIN.

Kongsikan:

Share on facebook
Facebook
Share on telegram
Telegram
Share on twitter
Twitter

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *