Perjalanan Mencari Keredhaan Allah SWT Dan Mencari Malam Lailatul Qadar Di Tanah Suci

Mencari malam Lailatul Qadar di bumi Madinah merupakan satu impian bagi setiap orang Islam. Merasai sendiri pengalaman berbuka puasa secara beramai-ramai di Dataran Masjid Nabawi. Penuh dengan Jemaah berbuka sepanjang jalan ke Masjid Nabawi. Bagaikan berpuasa bersama Rasulullah SAW. Betapa rindunya kita kepada Baginda Rasulullah SAW hanya Allah sahaja yang tahu. Bertarawih di malam-malam terakhir Ramadhan.

Bayangkan semua orang masing masing berebut-rebut beriktikaf di Masjid Nabawi. Sudah tidak hairan lagi apabila kita melihat jemaah nak tidur dekat masjid . Sebab suasana bertarawih dan bertahajjud itu lebih indah dari katil empuk di hotel. Berdoa di Raudhah dan dapat mendirikan solat di sisi makam Rasulullah SAW di bulan Ramadhan menjadi idaman para jemaah.

Bertahajjud di akhir Ramadhan di bumi Allah seawal jam 2 pagi . Bersahur beramai-ramai di Masjid An Nabawi, dataran malah ada juga yang bersahur di jalanan . Berpusu-pusu umat manusia bersedekah tak kira waktu dan tempat. Sampaikan waktu berbuka dan bersahur penuh dengan makanan yang disedekahkan oleh orang ramai. Nikmat Apa Lagi Yang Kamu Dustakan.

Malam raya bertakbir di bumi Madinah. Ya Allah betapa bertuahnya sekiranya kita dapat bersama-sama melaungkan takbir raya di bumi Madinah. Suasana memyambut malam raya dan solat raya di Bumi Madinah bersama-sama umat Islam yang lain dan penduduk Madinah di sisi makam Rasulullah SAW. Seronok tak terkata. Dapat merasai berhari raya bersama-sama di sisi makam Rasululllah dan para sahabat.

Namun ramai yang bertanya dan ingin tahu bagaimana suasana dan pengalaman yang bakal kita lalui sepanjang berada di musim panas dalam masa yang sama sedang menahan diri dari lapar dan dahaga. Apa bezanya? Ini tips mudah khusus bagi jemaah yang pertama kali ingin menjejakkan kaki di Tanah Suci di dalam bulan Ramadan.

Tips Mengerjakan Umrah Di Bulan Ramadhan

1. Melatih Diri Untuk Berpuasa Selama 15 Jam

Sebelum berangkat, antara persediaan diri yang kita kena tahu ialah jadual waktu solat. Subuh di Tanah Suci tahun ini lebih kurang pukul 4.18 pagi. Manakala waktu Maghrib dan Isyak lebih kurang waktu di Malaysia, dalam pukul 7.00 malam di Madinah dan Makkah. Maknanya kita akan berpuasa lebih kurang 15 jam.

Jadi, untuk mengelakkan daripada kita mengalami kejutan kerana berpuasa lebih kurang 15jam, latihkan diri kita untuk berpuasa selama 15jam semasa berada di rumah. Kebiasaannya pada permulaannya kita akan agak kekok dan ada yang tidak berjaya menahan, tapi pepatah Melayu ada mengatakan, “Alah Bisa Tegal Biasa”.

2. Suhu Panas Yang Berbeza Dengan Malaysia

Kebanyakan rakyat Malaysia akan memilih untuk pergi umrah pada hujung tahun kerana cuacanya lebih sejuk dan sudah tentunya memberikan lebih keselesaan. Manakala yang pergi umrah dalam bulan Ramadan selalunya kerana ingin mencari kelainan untuk merasai suasana ibadah umrah ketika berpuasa.

Sepanjang Ramadhan, suhu di Tanah Suci boleh dikatakan dalam lingkungan 40 darjah Celcius. Namun begitu, ada juga yang berpengalaman merasai suhu paling tinggi yang pernah mencapai sehingga 46 darjah Celcius. Lagi panas dari Malaysia. Sudah namanya pun bulan Ramadhan, memang akan jatuh dalam musim panas.

Ramadhan dalam bahasa arab bermakna PANAS YANG MEMBAKAR. Kalimah Bahasa Arab Ro Mim Dhal itu bermaksud ketajaman atau kepedihan pada sesuatu kerana kesan kepanasan dan lainnya. Jadi, jemaah semua memang kena banyak buat persediaan diri sebelum datang ke Tanah Suci untuk mengerjakan umrah di bulan Ramadhan.

Tapi jangan risau kerana di Tanah Suci cuacanya panas dan kering. Tak sempatlah nak bepeluh lencun seperti kita dekat Malaysia ye. Peluh akan cepat kering dan badan memang tidak akan berbau. Sampaikan kita boleh pakai baju yang sama seharian tanpa rasa melekit. Walaubagaimanapun, saya nak ingatkan agar bawa pakaian nipis dan tak perlu bawa banyak stok baju.

3. Suasana Berbuka Puasa Yang Semestinya Sangat Berlainan

Suasana berbuka di Madinah sangat meriah berbanding di Mekah. Waktu inilah kita akan saksikan banyak syarikat-syarikat dan perniagaan berlumba-lumba ‘cop’ tempat untuk menaja makanan berbuka puasa. Di Mekah pun ada majlis iftar tetapi kemungkinan kerana faktor reka bentuk di luar masjid yang agak luas dan menyukarkan penyediaan makanan yang teratur. Tetapi ia masih lagi satu pengalaman yang unik untuk kita rasai.

Berbanding Madinah, kawasan dataran di luar masjidnya yang luas dan berbentuk segi empat tepat di dalam kawasan berpagar. Menjadikan proses penyediaan makanan berbuka dan pembersihan lepas solat Maghrib lebih teratur. Jangan lepaskan peluang untuk melihat bagaimana meriahnya suasana selepas majlis berbuka puasa.

Saya nasihatkan agar anda datang awal sejam atau lebih untuk dapatkan lokasi berbuka yang lebih strategik. Biasanya sekitar sejam sebelum berbuka puasa, payung akan ditutup. Waktu inilah jemaah ambil peluang merakam momen indah seluruh kawasan dataran masjid Nabawi yang redup dibelah cahaya matahari petang. Suasana ini memang indah dan sangat memikat hati yang hanya ada di Madinah

4. Di Mana Tempat Berbuka Paling Menarik?

Selain dari berbuka puasa di hotel, kita ada pilihan untuk turun ke dataran masjid dan berbuka puasa berjemaah. Boleh pilih nak berbuka di luar atau di dalam masjid dan menunya juga berbeza. Di Madinah, sama ada kita duduk di dalam atau luar masjid, kita pasti akan dapat makanan. Biasanya di luar masjid, makanan yang berat dan sedap sikit macam nasi mandi, shawarma, roti, buah-buahan, air laban dan lain-lain.

Bagi sesiapa penggemar kambing rajin-rajinlah ajak mutawif berbuka dengan mencari daging kambing atau kibas, biasanya pihak penaja akan membawa lauk pauk dalam periuk besar. Jumpa periuk besar tu, duduklah di atas tikar sebelahnya. Nak cari ayam mandi, kena cari peti besi makanan warna silver. Ada banyak di sekitar kawasan dataran. Sahih ada nasi mandi ayam.

Semasa dalam perjalanan ke masjid lepas Asar pun, kita akan jumpa orang dah mula mengedarkan makanan dan minuman. Tipsnya, hulur sajalah tangan juga untuk mengambil makanan itu. Jangan malu-malu. Barulah rare. Memang semuanya diniatkan untuk sedekah kepada orang ramai.

Lain pula di Mekah di mana tidak semua tempat ada orang edarkan makanan di dalam masjid. Kalau nak merasa berbuka di dalam masjid, pergi ke tingkat 2 di mana setiap tempat yang ada karpet, memang akan ada satu kumpulan penaja yang akan edar makanan dan air. Kita juga boleh beriktikaf di situ. Siap ada aircond lagi tau. Banyak-banyak tempat, kebiasaannya tempat itu orang akan asyik tawarkan untuk bagi makanan sampaikan boleh bungkus bawa balik ke hotel lagi.

5. Jenis-Jenis Minuman Untuk Berbuka Yang Harus Anda Kenali

Air paling terkenal dan mendapat sambutan paling tingi tidak lain dan tidak bukan iaitu air zam-zam. Air zam-zam sememangnya akan ada di merata-rata dalam masjid di Mekah dan juga di Madinah. Kita boleh bawa botol siap-siap supaya senang untuk kita minum dan mengelakkan kita daripada berulang alik nak tadah banyak kali untuk mengambil air zam-zam.

Duduk di Madinah memang dijamin murah rezeki. Kalau nak rasa air selain daripada air zam-zam, boleh belajar untuk mencuba 4 jenis air yang kebiasaannya disedekahkan sebelum waktu berbuka iaitu:

  • Shai – Teh yang ada rasa pudina. Ini memang susah nak jumpa. Kena pandai cari.
  • Laban – Susu masam. Kadang-kadang kita akan dapat susu segar. Sekali minum, boleh jadi ketagihan.
  • Qohwah – Kopi ini paling rare. Kalau anda boleh minum, anda seorang yang hebat.
  • Jus buah-buahan – Air manisan dalam botol seperti jus nenas, jus oren, jus manga dan lain-lain.

Kebanyakkannya orang akan menawarkan minuman shai(teh) dan qohwah(kopi). Kalau kita dengar dua perkataan ni, saya sarankan anda untuk memilih shai sahaja. Sebab qohwah (kopi) Arab original ini bukan macam kopi dekat Malaysia. Kopi dia macam air herba siap ada rasa bunga lawang, cengkih dan kayu manis dan lain-lain.

Pengalaman mereka yang sudah merasanya walaupun sekali saja, memang terus akan melekat dalam ingatan. Tak boleh nak telan masuk. Peringatan kepada mereka yang tak pernah merasa, ia boleh menghilangkan terus deria rasa dan selera sebaik sahaja berbuka. Bagi yang pertama kali mengerjakan umrah, inilah pengalaman yang patut kita semua merasa. Ambil peluang rasai sendiri keunikan berbuka puasa di sana, kalau anda merasai keunikannya, boleh datang lagi di masa hadapan.

6. Cara Atau Teknik Minum Air Zam-Zam Semasa Berbuka Puasa

Tips berbuka puasa di Mekah dan Madinah yang sangat istimewa dan berbeza ini, saya syorkan supaya jemaah tidak minum air zam-zam atau sebarang air sejuk sebagai pembukaan semasa berbuka puasa. Ini bagi mengelakkan batuk terutamanya sepanjang berada di Tanah Suci. Pilih air zam-zam yang ditulis NOT COLD sebagai keutamaan ketika berbuka. Ini bagi mereka yang ingin menjaga kesihatan mereka sepanjang mengerjakan umrah. Tahan sekejap nafsu minum air sejuk tu ya. Lepas solat bolehlah minum balik.

7. Solat Berjemaah Di Masjid

Waktu berbuka puasa hanya diperuntukkan sekitar 10-15 minit. Bukan lama sangat pun. Tips dari saya, kalau boleh makanan yang berbungkus, jangan makan lagi. Simpan dulu dan makan lepas solat Maghrib nanti. Kalau tidak, takut tak sempat habis dan petugas sudah mula menggulungkan saprah atau kain alas tempat kita makan tadi. Nanti kita pula yang terasa macam kena halau.

Selepas berbuka dengan makanan yang ringan-ringan, terus siapkan diri untuk solat secara berjemaah. Jangan bimbang. Lepas solat maghrib semua orang akan mula ‘berkelah’ di kawasan dataran untuk menikmati juadah berbuka puasa.

Kawasan dataran juga akan dibersihkan. Jadi kenalah cepat-cepat untuk cari tempat di dalam Masjid. Dalam bulan Ramadhan, susah sangat nak dapat solat dalam masjid. Bukan sahaja selepas waktu berbuka, boleh dikatakan setiap waktu. Kalau 15 minit sebelum azan kita tak bertolak lagi ke masjid, memang jawabnya kita akan solat di luar masjid atau di tepi jalan.

Kalau di Madinah, penjaga pintu di bahagian muslimat akan membenarkan muslimat masuk selagi ada tempat solat walaupun di kawasan pejalan kaki ruang solat. Selagi tak penuh sampai ke pintu, selagi itu kita boleh masuk.

Berbeza pula di Mekah, pihak pengawal akan menghadang pintu lebih awal walaupun kita nampak masih ada ruang solat lagi di dalamnya. Kadang-kadang mereka bukan sahaja menutup pintu, tetapi mereka juga akan menutup jalan dan siap pasang penghadang lagi.

Kalau kita nampak dia dah mula tutup jalan atau pintu, jangan cepat sangat putus asa dan kita boleh terus solat di tepi jalan sahaja. Sebenarnya dia tak tutup semuanya, itu hanya cara mereka sahaja. Mereka akan tutup jalan atau pintu secara beransur sikit demi sikit. Jadi kita kena cepat beralih dan bergerak untuk mencari pintu lain pula sampai jumpa pintu yang masih terbuka sekiranya kita mahu juga solat di dalam.

Sebaik-baiknya, pada bulan Ramadhan, biasakan diri kita untuk keluar ke masjid 1 jam sebelum azan dan pastikan kita sudah berada di dalam masjid menunggu waktu solat. Selain dapat solat berjemaah di dalam masjid, kita juga dapat beriktikaf di masjid tambah-tambah lagi bulan puasa. Banyak faedahnya akan kita perolehi apabila kita bergerak awal ke masjid.

8. Bagaimana Untuk Mencari Pintu Yang Masih Terbuka?

Apabila kita berada di Mekah, sudah menjadi kewajipan kita untuk cepat pergi ke masjid terutamanya kalau waktu Subuh dan lepas waktu Asar. Lebih kurang pukul 5.30 petang tu dah kena turun dari hotel seboleh-bolehnya sebabnya waktu inilah orang tengah berpusu-pusu untuk ke masjid bagi mendirikan solat Subuh dan Maghrib kemudian terus bersedia untuk solat tarawikh dalam masjid.

Tipsnya kita kenalah pandai untuk mencari pintu mana yang masih dibuka. Sebenarnya dari jauh pun kita boleh nampak dah pintu mana yang masih terbuka. Di atas setiap pintu ada satu papan elektronik LED berwarna merah atau hijau. Kalau hijau, cepat-cepat berjalan menuju ke pintu tu. Kalau dari jauh dah nampak merah, cepat-cepat cari pintu yang papan elektroniknya yang masih berwarna hijau. Jangan pula ikut arus orang ramai yang sedang masuk ke pintu yang sudah lampunya berwarna merah.

Bagi mereka yang baru pertama kali mengerjakan umrah, mereka mungkin akan tidak faham dan mereka akan terus menunggu dan merayu kepada pengawal yang menjaga pintu itu untuk benarkan mereka masuk ke dalam. Saya sangat yakin pengawal itu tidak akan membuka pintu itu setelah mereka menutupnya. Jadilah tetamu Allah yang bijak untuk mencari pintu yang masih terbuka yee semua.

9. Sentiasa Bawa Sejadah Yang Besar Semasa Ke Masjid

Semasa kita mengerjakan ibadah umrah di bulan Ramadhan, kita digalakkan untuk sentiasa membawa sejadah besar untuk ke masjid. Ini kerana mengikut pengalaman-pengalaman mereka yang pernah mengerjakan umrah pada bulan Ramadhan, peratusan untuk solat di luar tu agak tinggi sekiranya kita lambat untuk bergerak ke masjid.

Ini juga tips untuk elak solat di atas lantai yang kotor terutamanya kalau kita terpaksa menunaikan solat di jalan atau solat lepas habis waktu berbuka puasa kerana selepas habis berbuka, lantai di luar masjid memang agak kotor, melekit sebab banyak nasi, air, dan kuah yang tumpah. Tukang sapu akan mula membersihkan kawasan luar masjid lepas habis solat Maghrib.

Jadilah jemaah yang bijak dan sentiasa satu langkah di hadapan orang lain. Sekurang-kurangnya ia turut memberikan keselesaan kepada kita juga untuk beribadah kepada Allah SWT.

10. Sentiasa Bawa Botol Spray Air

Kalau bulan-bulan biasa selain bulan Ramadhan, setiap kali kita penat atau duduk sahaja dalam masjid, boleh santai-santai lepak sambil minum air zam-zam yang diletakkan di mana-mana dalam masjid. Masa balik solat, boleh pula kita makan aiskrim Mekah. Ini dah di kira sebagai rutin harian orang di sana.

Tetapi pada bulan Ramadhan memang sah-sahlah kita kena berpuasa kan. Antara cara untuk segarkan diri kita ialah dengan cara, selalu spray air zam-zam ke muka dan mana-mana anggota badan bagi menyejukkan badan dan menyegarkan muka kita daripada kepenatan. Ini juga dapat membantu kita untuk sentiasa selesa untuk mengerjakan ibadah semasa berada di masjid.

Nanti kita akan nampak ada orang main spray je air kat korang ketika tawaf atau di ruang yang sesak. Janganlah pula kita marah mereka sekiranya kita kena sembur. Sebenarnya niat mereka hanyalah mahu segarkan diri kita. Itu antara keunikan orang sana membuat amal sedekah. Ramadhan kan musim panas. Siap spray pakai tong racun pun ada. Jangan terkejut dan melatah pula ya.

11. Sedekah Di Haramain

Kita sudah semestinya sangat mengetahui bahawa sedekah bulan Ramadhan di sini memang luar biasa kerana masing-masing yakin dan mahu mendapatkan ganjaran yang Allah SWT berikan kepada sesiapa sahaja yang menyediakan makanan kepada mereka untuk dijadikan juadah berbuka.

Kalu kita jumpa sedekahkan makanan tu tidak hairan lah kan. Namun kita juga akan berjumpa dengan orang yang hanya memegang tisu untuk disedekahkan. Mereka ni akan duduk sahaja sambil memegang kotak tisu sambil menunggu di tempat tawaf atau tempat solat. Ada juga yang sedekahkan buah kurma dan ada juga edarkan makanan ringan untuk jemaah yang lalu lalang.

Semua orang sibuk mencari jalan bagaimana untuk bersedekah. Kalau anda tak percaya, anda boleh bertanya mutawwif dan anda juga boleh bertanya mereka bagaimana cara untuk bersedekah. Percayalah, tidak susah untuk melakukan kebaikan dan bersedekah di Tanah Suci.

Menunaikan ibadah umrah dan juga berpuasa Ramadhan di Tanah Suci amat besar ganjaran pahalanya. Malah ada hadis Nabi s.a.w yang menyatakan “sesiapa yang melakukan Umrah dalam bulan Ramadhan seolah-olah mereka mengerjakan Haji bersama-sama denganku.” Subhanallah betapa beruntungnya mereka yang diberikan kesempatan oleh Allah SWT untuk berpuasa di Tanah Suci.

Kenangan menunaikan ibadah puasa dan umrah di bulan Ramadhan di Tanah Suci Mekah memang amat mengujakan dan sangat RARE. Tanyalah pada mereka yang sudah sampai di sana pada bulan Ramadhan, pasti jawapannya sama dengan saya.

Kepada mereka yang belum pernah merasai nikmat berpuasa di Tanah Suci, jom kita mulakan untuk menanam niat untuk berpuasa di Tanah Suci. Semoga kita menjadi insan terpilih untuk mengerjakan umrah dan sekaligus berpuasa di Tanah Suci yang penuh kenikmatan dan kelainan. Satu kenangan yang pastinya akan membuatkan kita sentiasa teringat akannya.

Kongsikan:

Share on facebook
Facebook
Share on telegram
Telegram
Share on twitter
Twitter

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *