Sentiasa Berebut-Rebut Untuk Masuk Ke Raudhah? Ikuti Tips Ini Untuk Membolehkan Anda Beribadah Semahu-Mahunya

Kali ini saya nak kongsi sedikit pengalaman yang dikongsikan untuk masuk ke Raudhah bagi jemaah wanita di mana anda boleh solat semahu-mahunya. Cara paling selamat, paling aman, tidak perlu nak bertolak-tolak, tidak perlu berlari dan paling penting boleh berdoa dan bersolat tanpa ada gangguan dari jemaah lain dan pengawal Arab wanita. Makam Rasulullah SAW adalah tempat yang menjadi idaman setiap muslim jika berada di Tanah Madinah Al Munawwarah.

Perkongsian sedikit ilmu ini sangat sesuai untuk para muslimah yang sedang mengandung yang sikit sebanyak membataskan pergerakan mereka. Lebih-lebih lagi apabila turut membawa ibu bersama yang tua dan tidak mempunyai kekuatan fizikal seperti kita yang darah muda ni. Yang paling penting adalah kesabaran. Masuk dan sabar menunggu. Tidak perlu tergopoh-gapah dan tidak perlu nak berhimpit-himpit untuk masuk ke Raudhah.

Waktu yang paling sesuai untuk memasuki Raudhah bagi wanita adalah selepas Subuh dan selepas Isyak. Pastikan melalui pintu masjid no 25. Tidak perlu terburu-buru atau tunggu di masjid selepas solat. Saya nasihatkan supaya anda balik ke hotel masing-masing terlebih dahulu selepas solat.

Selepas Subuh misalnya, balik ke hotel untuk sarapan dulu. Berehat, buang air, berwuduk dan sebagainya dan sebagusnya kenakan jubah dan khimar berwarna hitam supaya tidak diganggu oleh pengawal Arab wanita kerana kita nampak serupa dengan orang Arab, Pakistan dan sebagainya. Dan kalau boleh beg umrah yang diberikan oleh travel agen tu digantung di dalam telekung atau tidak dibawa langsung. Kerana beg itu adalah pengenalan kita dan mudah untuk kita dikenalpasti dari Malaysia.

Selepas berwuduk dan mengenakan pakaian serba hitam, kembali ke masjid Nabawi mengikuti pintu 25 sekitar pukul 8.00 pagi dan terus ke bahagian depan. Penghadang kayu antara ruangan wanita dan lelaki telah dibuka. Laluan ini adalah laluan menuju ke Raudhah. Waktu ini anda tidak perlu berebut dan tidak perlu bertolak dan berhimpit. Hanya perlu berjalan lemah lembut dan terus ke Raudhah.

Sekiranya ia merupakan kali pertama anda pergi, anda boleh mengikuti kumpulan mutawif tetapi untuk mereka yang sudah mengerjakan umrah yang sekian kalinya, lebih baik pergi sendiri. Lagi kecil group lagi senang pergerakan kita dan sukar dicam oleh pengawal wanita arab. Kita boleh menyelit di mana-mana kumpulan. Jika anda nak masuk selepas Isyak, balik dulu ke hotel untuk makan dan sekitar pukul 10.00 malam kembali ke masjid Nabawi mengikut cara yang dijelaskan seperti di atas tadi.

Selepas melalui penghadang kayu, anda akan masuk ke kawasan dataran Raudhah. Dari sini sudah kelihatan makam Rasulullah di bahagian hujung iaitu kawasan bilik Siti Fatimah. Anda boleh duduk dulu di dataran Raudhah, solat tahiyatul masjid, berzikir, baca al Quran dan apa-apa sahaja di sini. Sekiranya anda malas untuk pulang ke hotel, anda boleh tunggu di sekitar dataran Raudhah.

Tidak terasa lama jika waktu yang ada diisi sebaiknya. Biarkan sahaja kumpulan lain masuk terlebih dahulu. Kita sabar sahaja menunggu. Bila orang sudah tidak ramai, sekitar 1-2 kumpulan sahaja, kita sudah boleh mula menyelit masuk. Sampai giliran kumpulan yang kita menyelit tadi, berjalanlah menuju ke Raudhah dan menghimpit ke kiri rapat ke makam Rasulullah saw.

Tidak perlu terus ke karpet hijau. Kita boleh duduk dahulu di karpet merah. Sampaikan salam pada para sahabat dan sebagainya. Bila keadaan agak reda, barulah kita akan masuk terus ke karpet hijau, rapat ke dinding dan mula bersolat di situ. Oleh kerana keadaan kita di bahagian tepi dinding, jadi tiada siapa yang akan menolak. Jika ada 3-5 orang sekumpulan, beraturlah dan pastikan semua mendapat tempat di tepi dinding.

Sebaiknya anda solat taubat lah terlebih dahulu dan kemudian baru di ikuti dengan solat hajat. Satu solat hajat untuk satu hajat dan disambung lagi solat dan solat dan solat. Doa dibaca ketika setiap sujud terakhir. Solat sambung menyambung tanpa henti.

Ini tips penting, jangan sesekali kita berdoa dengan mengangkat tangan ataupun duduk termenung sambil menangis. Pengawal Arab wanita akan menghalau kita keluar secepatnya. Tapi jika kita kekal dalam keadaan solat, mereka tidak akan ganggu atau menyuruh kita berhenti dan keluar.

Selepas kita solat sunat berhampiran dinding di sebelah kiri, bergeraklah ke kanan seolah-olah ingin keluar. Tapi masa ini kita ambil peluang untuk lebih rapat ke bahagian depan berdekatan dengan tiang Siti Aisyah dan ambik peluang bersolat di situ. Kawasan tengah Raudhah sekitar pukul 12.30 malam agak lengang. Dan kita boleh bersolat di mana sahaja. Pengawal Arab wanita sudah mula untuk meminta jemaah keluar dari Raudhah kerana pukul 1 pagi mereka akan menutup Raudhah bagi wanita dan buka peluang untuk jemaah lelaki pula pada pukul 2 pagi.

Dan waktu ini, kita akan rasa puas, aman dan rasa macam dah habis doa nak dibaca dan bersolatlah taubat sebanyaknya. Jika kita masuk berebut- rebut dan tergopoh gapah dan bersesak kemungkinan kita berpeluang solat sekali sahaja. InsyaAllah Allah akan permudahkan urusan kita sekiranya kita sentiasa bersabar. Sudah pastinya kita akan merasa puas dan tersenyum lebar pulang ke hotel apabila mendapat peluang untuk mendirikan  solat-solat sunat di dalam Raudhah dengan sebanyak mungkin.

Saya berharap perkongsian ini dapat dimanfaatkan dan anda juga berpeluang ke Raudhah dan rebutlah peluang beribadat di sana. Janganlah tergopoh gapah untuk menyelesaikan solat dan tergesa-gesa untuk balik ke hotel lebih awal. Kerjakanlah ibadah dengan tenang dan santai. Berdoalah sepuas-puasnya apabila diberi kesempatan untuk memasuki taman syurga iaitu Raudhah.

Tanamlah sifat sayang dan ingin kembali ke Tanah Suci untuk terus beribadah kepada Allah dengan sepenuh keikhlasan di hati. Semoga kita masih diberi kesempatan untuk menjejakkan kai ke Tanah Suci pada masa akan datang.

Kongsikan:

Share on facebook
Facebook
Share on telegram
Telegram
Share on twitter
Twitter

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *