7 Tips Umrah Bagi Golongan Wanita Yang Pertama Kali Ingin Menjejakkan Kaki Ke Tanah Suci

Bagi golongan wanita yang baru pertama kali ingin menjejakkan kaki ke Tanah Suci untuk mengerjakan ibadah umrah sering tertanya-tanya apakah kelengkapan yang harus ada. Tidak kurang juga ada yang termenung memikirkan kelengkapan-kelengkapan yang harus dibawa supaya dapat mengerjakan ibadah umrah dengan lancar.

1) Tawaf

a) Sebolehnya, anda pakailah seluar di bahagian dalam jubah, bukan hanya memakai kain sahaja. Bagi mendapatkan lebih keselesaan, pakai tight yang dari jenis cotton. Ini dapat mengelakkan dari melecet di celah peha yang akan lebih menyulitkan ibadat yang mana kita tahu kita perlu untuk banyak berjalan.

b) Pakai kasut bersih khas untuk tawaf. Untuk pengetahuan anda, lantai di tempat tawaf adalah lantai dari jenis tile. Jadi kalau kita cuma pakai sarung kaki, agak tak selesa untuk berjalan sebab sedikit licin dan kaki pun cepat sakit. Jadi, anda disarankan agar memakai kasut khas untuk tawaf yang memang bersih dan tidak dipakai di tempat lain atau yang di khususkan untuk tawaf sahaja.

c) Jalan secara mengiring ketika hendak masuk pusingan tawaf atau keluar dari tawaf. Jangan melawan arus. Ia lebih mudah dan paling penting, ia tidak menyusahkan orang lain yang sedang tawaf.

d) Kalau terpaksa berseorangan melakukan tawaf dan anda takut untuk lakukannya di kawasan yang betul-betul di sekeliling Kaabah kerana tidak dinafikan berhampiran dengan Kaabah sememangnya akan sesak, anda boleh pergi ke tingkat 1. Di sana lebih lengang dan tidak perlu bersesak dengan orang lain cuma pusingan tawafnya lebih jauh sedikit berbanding di bawah.

e) Untuk yang sudah uzur atau tidak sihat yang mengerjakan umrah secara bersendirian tanpa ahli keluarga yang lain, boleh upah pekerja di Masjidil Haram untuk tolak kita menggunakan kerusi roda. Bagi yang datang bersama ahli keluarga, anda boleh menyewa skuter elektrik yang lebih kurang seperti ATV yang disediakan untuk memudahkan anda mengerjakan ibadah Tawaf.

2) Sa’ie

Sama juga seperti tawaf, iaitu pakai seluar di dalam jubah dan pakai kasut. Kebiasaannya perjalanan saie lebih laju berbanding tawaf kerana kurang sesak. Jadi agak susah nak berjalan dengan laju jika sekadar memakai sarung kaki. Anda dicadangkan lebih baik sa’ie secara berkasut.

Untuk sa’ie juga disediakan kerusi roda dan juga skuter elektrik yang mana anda boleh menyewanya untuk memudahkan perjalan sa’ie anda dengan ahli keluarga yang uzur ataupun tua. Skuter elektrik yang disediakan boleh khas untuk dua orang.

3) Pakai Niqab

Selain untuk mengelakkan diri daripada diganggu, niqab juga membantu melindungi wajah ketika panas terik dan juga ketika ribut pasir yang mana kadang-kala ia berlaku tanpa di duga. Niqab boleh dibeli sebelum berangkat ke sana atau boleh juga beli di sana. Ada banyak pilihan dengan harga yang murah. Tapi anda kena ingat, semasa di dalam ihram, jangan pula menutup muka tau.

4) Pakaian

a) Untuk jubah, kalau rasa tak nak bawa banyak pun takpe. Cukup dalam 4-5 helai jubah pun sudah memadai dan mencukupi. InshaAllah ada masa untuk basuh jubah tu. Boleh basuh sendiri je dekat hotel dan anda boleh beli sabun di sana atau hantar ke laundry service di hotel yang kebiasaannya servis ni disediakan di setiap hotel. Kalau tak cukup jugak, boleh beli jubah di sana.

b) Kebiasaannya bagi mereka yang pertama kali mengerjakan umrah mesti akan terfikir hanya boleh memakai jubah hitam atau telekung sahaja ke di Tanah Suci? Sebenarnya, di sana anda boleh pakai apapun pakaian selain jubah selagi mana ia menutup aurat. Contoh pakaian yang boleh di pakai semasa di Tanah Suci ialah juba dan seluar, blouse labuh dengan skirt, baju kurung pun boleh.

c) Pakailah pakaian yang mudah untuk dipakai. Lagi bagus sekiranya memakai tudung dan baju yang ironless. Kalau memang berkedut jugak, dan tak sempat iron tambahan pulak segan nak keluar sebab baju berkedut, boleh pakai telekung kat luar jubah. Jangan risau sebab di sana memang tidak pelik sekiranya bertelekung ke sana sini.

d) Bawa mini telekung (yang kurang labuh daripada telekung yang biasa kita guna), dan boleh juga bawa telekung tanpa kainnya. Sebab biasanya di sana kita memang akan pakai telekung siap-siap dari hotel ke masjid, jadi lebih mudah untuk pakai telekung sahaja tanpa kainnya. Dan di masjid nanti tak ada masalah untuk terus solat walaupun tak ada kain telekung tu. Asalkan menutup aurat sempurna. Mini telekung tu juga boleh dijadikan sebagai tudung kita sepanjang di sana.

e) Jangan lupa untuk membawa sedikit hanger/penyangkut baju. Hanger boleh digunakan untuk menggantungkan pakaian dalam, stoking dan pakaian yang anda basuh sendiri. Ia akan memudahkan anda untuk menggantung pakaian di dalam bilik air untuk mengeringkan pakaian anda tersebut.

5) Beg kasut

Di Mekah terutamanya, rak kasut tidak banyak disediakan dan kalau ada pun, ada risiko kita lupa di mana rak yang kita letak kasut kita. Dan boleh jadi juga kita terpaksa keluar dari masjid menggunakan pintu yang tak sama dengan pintu ketika kita masuk.

Jadi sebaiknya bawa kasut ke mana sahaja ketika kita berada dalam masjid. Ada orang guna plastik, tapi saya sarankan anda bawa beg kasut yang berzip untuk mengelakkan kotoran dari kasut jatuh di dalam masjid. Untuk Madinah, rak kasut ada banyak dan tak susah untuk cari pintu keluar yang sama, jadi kalau taknak bawa beg kasut pun tak apa, tapi tetap ada risiko kasut tertukar atau diambil orang.

6) Makanan

Untuk umrah, biasanya tak timbul isu “makanan tak kena dengan tekak Melayu”. Tapi kalau anda nak bawa makanan juga, cukup bawa sambal atau sos cili. Sepanjang saya pergi umrah dan haji, saya belum jumpa lagi sos cili style Malaysia di sana.

Di sana juga terdapat banyak fast food, jadi kalau sekali sekala teringin makan fast food, memang takkan lengkap rasanya kalau tak cicah sos cili Malaysia kan? Tapi biasanya umrah ni tak ada masalah sangat tentang makan, lagipun tempoh umrah pun tak lama. Bekalan makanan lain tak perlu bawa, sebab kat sana ada banyak mall atau supermarket. Nak beli sayur, bawang, minuman yang 3 in 1 pun ada. Pendek kata semua ada lah.

7) Isu tandas

Di Mekah, tandas memang agak jauh dari tempat solat. Kalau anda tinggalkan tempat solat untuk pergi ke tandas, biasanya anda takkan dapat duduk semula di tempat yang sama. Terutamanya jika sudah hampir masuk waktu solat. Kebiasaaannya di sana kita mesti berada di masjid sejam lebih awal daripada azan kerana sekiranya kita lambat, masjid akan penuh dan pintu akan ditutup.

Tapi untuk anda yang nak duduk lama di masjid dan tak nak risau tentang masih ada tempat untuk solat atau tidak selepas balik dari tandas, anda boleh solat di bahagian bangunan masjid yang baru, bahagian extension Masjidil Haram yang ditambah, berhadapan dengan hotel Intercontinental.

Ia lebih dekat dengan tandas. Dan di kawasan itu juga kurang penuh berbanding di dalam masjid mungkin kerana di situ jauh dengan kaabah dan tiada tempat tawaf. Saya sangat menyarankan agar anda semua untuk menunaikan solat di situ sekiranya anda terpaksa pergi lewat ke masjid.

Ingat ye, 30 minit sebelum masuk waktu solat, anda sudah dikira lambat dan berkemungkinan pintu masjid sudah pun ditutup. Namun pintu dibahagian bangunan baru tidak akan ditutup dan kadang kala di laur juga penuh dengan jemaah yang turut untuk solat secara berjemaah.

Semoga kita semua dijemput oleh Allah S.W.T untuk menjadi tetamu istimewanya di Tanah Suci kelak. Saya mendoakan agar setiap ibadah yang kita lakukan baik di Tanah Suci mahupun di rumah kita sendiri di terima oleh Allah S.W.T. Amin..

Kongsikan:

Share on facebook
Facebook
Share on telegram
Telegram
Share on twitter
Twitter

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *