Tidak lengkap rasanya sekiranya kita tidak melawat makam Rasulullah SAW dan Raudhah saat kita berada di Madinah. Sememangnya tidak dinafikan menjadi impian setiap muslimin dan muslimat yang berkunjung ke Madinah untuk sujud di Raudhah atau terkenal dengan nama panggilan Taman Syurga.
Namun untuk pengetahuan semua Masjid Nabawi berbeza dengan Masjidil Haram Makkah yang mana Masjidil Haram sentiasa terbuka untuk jemaah selama 24 jam. Namun tidak pula pada Masjid Nabawi kerana hanya dibuka dari pukul 03.00 pagi sehingga 22.00 malam waktu Saudi, dan waktu untuk ziarah diatur sebagaimana berikut:
- Jemaah boleh mengunjungi Raudhah dan ziarah ke makam Rasulullah pada pukul 07.00 sehingga 11.00 dan pada pukul 13.00 sehingga pukul 15.00 petang. Manakala pada sebelah malamnya selepas solat Isyak sehingga tengah malam. Kebiasaannya 30 minit selepas waktu solat jemaah sudah boleh bersiap sedia untuk masuk.
- Bagi jemaah wanita tempatnya terpisah dengan jemaah lelaki yang dibatasi dengan sekatan yang dipasang khusus ketika jemaah wanita sedang ziarah. Bagi jemaah yang pertama kali pergi jangan bimbang kerana kita akan dibimbing oleh ustaz dan ustazah yang akan bawa kita ziarah ke dalam kawasan masjid.
MAKAM RASULULLAH
Dahulunya Makam Nabi Muhammad SAW dinamakan sebagai Masqurah. Setelah masjid itu diperbesarkan sebagaimana hari ni, makam ini termasuk di dalam bangunan masjid.
Pada bangunan ini terdapat empat buah pintu iaitu:
1. Pintu sebelah kiblat dinamakan pintu At Taubah.
2. Pintu sebelah timur dinamakan pintu Fatimah.
3. Pintu sebelah utara dinamakan pintu Tahajjud.
4. Pintu sebelah barat ke Raudhah (sudah ditutup).
- Dalam ruangan ini terdapat 3 buah makam, iaitu makam baginda Rasulullah SAW, Abu Bakar Assiddiq dan Umar Al Khattab r.a. Manakala Makam Saidina Utsman berada di dalam perkuburan Baqi’. Sekiranya anda berkesempatan, bertanyalah kepada mutawwif yang menjadi pembimbing anda kenapa makam Saidina Utsman berada di Baqi’. Ada kisahnya tertentu, rugi sekiranya anda tidak bertanya.
RAUDHAH
Raudhah adalah suatu tempat di dalam Masjid Nabawi yang mana lokasinya ditandakan dengan tiang-tiang putih, berada di antara rumah Baginda Rasulullah SAW (sekarang makam Rasulullah SAW) sampai ke mimbar Masjid Nabawi. Luas Raudhah dari arah timur ke barat sepanjang 22 m dan dari utara ke selatan 15 m.
Raudhah dikenali sebagai taman syurga. Tetapi di dalam banyak hadis Nabi tidak ada disebutkan tentang makbulnya doa kita di sana. Kena faham, berdoa itu satu tuntutan ke atas kita tetapi tidak terhad di mana-mana lokasi. Makbulnya doa kita kerana disusuli dengan ilmu, usaha dan bekerja keras ke arah merealisasikan doa atau seruan kita dan bertawakkal kepada Allah setelah kita berusaha dengan sehabis baik.
Meskipun doa yang kita panjatkan di Raudhah, baik di depan Kaabah sekalipun belum tentu makbul selagi kita sendiri belum berusaha ke arah menjadikan seruan atau doa kita itu sesuatu yang pasti, diyakini dengan sepenuh hati untuk mengubah nasib kita.
Kita janganlah hanya berharap. Sudah berjuta umat Islam yang berdoa di dalam Raudhah malah di depan Kaabah tetapi nasib umat Islam masih belum berubah. Allah tidak mengubah nasib sesuatu kaum selagi kita sendiri tidak mengubahnya dengan tangan kita sendiri, dengan usaha, ikhtiar dan kerja keras. Bukan hanya menadah tangan semata-mata dan berharap ke langit.
Rasulullah berkorban jiwa, harta dan segalanya untuk membangunkan Islam dan memastikan agama ini tertegak atas dasar basmallah sehingga hilangnya kejahilan dan kekafiran manusia. Bagaimana pula dengan kita? Adakah kita sanggup berkorban sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah SAW dalam menegakkan Islam? Tepuk dada tanya iman.